
MALE, 15 September – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan rasmi ke Maldives hari ini bagi memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang.
- Pertemuan empat mata dengan Presiden Dr Mohamed Muizzu untuk menilai kerjasama sedia ada dan meneroka peluang baharu dalam pelbagai bidang
- Mesyuarat delegasi Malaysia-Maldives membincangkan langkah susulan bagi memperkukuh kerjasama dua hala
- Pertukaran MoU dalam bidang pertahanan dan hal ehwal Islam serta sidang media bersama pemimpin kedua negara
Pertemuan empat mata dengan Presiden Maldives, Dr Mohamed Muizzu merupakan antara agenda utama lawatan.
Dalam sesi itu, kedua-dua pemimpin dijangka menilai kerjasama sedia ada serta meneroka peluang baharu dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pelancongan, pertahanan serta hal ehwal Islam.
Datuk Seri Anwar dan Dr. Mohamed juga dijangka bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Selepas pertemuan itu, mesyuarat delegasi Malaysia-Maldives akan diadakan bagi membincangkan langkah susulan untuk memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara.
Kedua-dua pemimpin kemudian dijadual menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pertahanan dan hal ehwal Islam sebelum mengadakan sidang media bersama.
Perdana Menteri turut akan diraikan dalam Majlis Sambutan Rasmi di Republic Square.
Maldives merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia di Asia Selatan dengan jumlah perdagangan mencecah RM762.78 juta pada 2025, manakala eksport Malaysia ke Maldives pula berjumlah RM786.2 juta.
Malaysia turut mencatat lebihan perdagangan RM751.67 juta, sekali gus menjadikan Maldives sebagai destinasi eksport penting bagi negara.