113 pesalah jalani Perintah Khidmat Masyarakat, lebih 98 peratus kes buang puntung rokok

Di Perlis seorang lelaki menjalani hukuman PKM selama lapan jam, kerana melakukan kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam. ./ SWCorp Perlis

KANGAR, 15 September – Seramai 113 pesalah di seluruh negara menjalani hukuman Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) Siri Ke-50 secara serentak hari ini, dengan 111 daripada mereka didapati melakukan kesalahan membuang puntung rokok di tempat awam.

RINGKASAN BERITA AI
  • 113 pesalah jalani PKM Siri Ke-50 secara serentak, 111 daripadanya disabit membuang puntung rokok.
  • PKM dilaksanakan di 17 lokasi, turut melibatkan kes pembuangan bekas dan tin minuman.
  • Tugasan termasuk menyapu jalan dan membersihkan longkang bagi memberi pengalaman kesan tindakan terhadap kebersihan awam.

Menurut SWCorp Perlis, pelaksanaan PKM itu membabitkan 17 lokasi di seluruh negara dan turut melibatkan pesalah yang melakukan kesalahan membuang bekas serta tin minuman.

“Daripada keseluruhan 113 pesalah yang terlibat, 111 pesalah atau lebih 98 peratus melakukan kesalahan membuang puntung rokok, selain membuang bekas dan tin minuman,” menurut SWCorp Perlis dalam kenyataan media hari ini.

Di Perlis, seorang pesalah menjalani hukuman selama lapan jam, dengan empat jam dilaksanakan pada fasa pertama hari ini. Individu tersebut dihukum kerana melakukan kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam.

Antara tugasan yang dilakukan termasuk menyapu jalan dan membersihkan longkang di sekitar kawasan dataran.

SWCorp berkata pelaksanaan PKM bukan sekadar bertujuan memberi hukuman kepada pesalah, sebaliknya memberi pengalaman secara langsung mengenai kesan perbuatan mereka terhadap kebersihan ruang awam.

“Pelaksanaan PKM bertujuan memberi pengalaman secara langsung kepada pesalah mengenai kesan perbuatan mereka terhadap kebersihan ruang awam,” menurut kenyataan itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.