Malaysia muncul negara di ASEAN capai Tier 1 Kesiapsiagaan Migrasi PQC

Pencapaian mencerminkan keberhasilan pembangunan serta pelaksanaan program migrasi PQC secara aktif di Malaysia

KUALA LUMPUR, 15 September – Malaysia muncul satu-satunya negara ASEAN yang mencapai tahap tertinggi, Tier 1, dalam kesiapsiagaan migrasi kepada Kriptografi Pasca-Kuantum (PQC), berdasarkan laporan ASEAN Post-Quantum Cryptography Readiness 2026: An Empirical Assessment of the ASEAN-10 yang diterbitkan, 1 September lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penilaian berdasarkan bukti tindakan dan pelaksanaan peringkat nasional yang boleh disahkan secara terbuka, bukan sekadar pernyataan hasrat.
  • Kesiapsiagaan PQC merupakan inisiatif strategik Kerajaan MADANI untuk melindungi data, sistem dan Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII).
  • Pelbagai inisiatif nasional menyokong migrasi PQC: strategi keselamatan siber, dasar kriptografi, Pelan MyKriptografi, arahan eksekutif dan Pelan Migrasi PQC.
  • Kerajaan komited memperkukuh pelan migrasi PQC melalui kerjasama sektor, inventori aset, penilaian risiko, pembangunan keupayaan, pengujian dan migrasi berperingkat.

Kenyataan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyebut pencapaian itu mencerminkan keberhasilan pembangunan serta pelaksanaan program migrasi PQC secara aktif di Malaysia.

“Penilaian dibuat berasaskan bukti tindakan serta pelaksanaan peringkat nasional yang boleh disahkan secara terbuka, bukan sekadar bergantung kepada pernyataan hasrat atau kemajuan teknologi sesebuah negara,”menurut kenyataan.

Laporan diterbitkan firma penasihat berpangkalan di United Kingdom, SITG-Consulting serta mempunyai kepakaran dalam risiko siber, tadbir urus kriptografi, daya tahan organisasi dan kesiapsiagaan PQC.

Penilaian turut meletakkan Brunei, Kemboja, Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam pada Tier 2, Filipina (Tier 3), Laos (Tier 4) manakala Myanmar pada Tier 5.

“Kesiapsiagaan PQC merupakan inisiatif strategik Kerajaan MADANI bagi memastikan data, sistem dan Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) kekal selamat serta berdaya tahan daripada ancaman teknologi pengkomputeran kuantum.

“Persediaan awal, membolehkan peralihan dilaksana secara terancang bagi memperkukuh keselamatan data dan maklumat kerajaan, transaksi kewangan, identiti digital, komunikasi dan kesinambungan perkhidmatan kritikal negara,”jelas kenyataan berkenaan.

Inisiatif berkenaan, kata MKN disokong pelbagai program nasional termasuk Malaysia Cyber Security Strategy 2025-2030, Dasar Kriptografi Negara , Pelan Tindakan MyKriptografi 2026-2030, Arahan Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara No 9 serta Pelan Migrasi PQC Kebangsaan.

Turut dilaksana adalah Program Proof-of-Concept PQC melalui Inisiatif Sandbox Pelan Migrasi PQC Kebangsaan serta Program Kesedaran Migrasi PQC kepada entiti NCII.

MKN turut memaklumkan kerajaan komited untuk terus memperkukuh pelaksanaan Pelan Migrasi PQC Kebangsaan bagi memastikan NCII kekal selamat, berdaya tahan dan berdaulat bertujuan mendepani cabaran teknologi masa depan.

“Langkah itu menuntut kerjasama berterusan bersama Ketua-Ketua Sektor NCII, entiti NCII dan pihak industri menerusi penyediaan inventori aset kriptografi, penilaian risiko, pembangunan keupayaan, pengujian teknologi dan pelaksanaan migrasi secara berperingkat seperti yang dirancang,”kata kenyataan itu lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.