
SAUDARA PENGARANG
- Masalah sebenar ialah penilaian universiti direka untuk era sebelum AI, bukan AI itu sendiri.
- AI mendedahkan tugasan yang hanya menguji pengumpulan dan penyusunan maklumat, bukan keupayaan berfikir.
- Ubah soalan agar uji pertimbangan: berikan fakta bertentangan, minta keputusan, pertahankan pilihan dan jawab soal balas.
- Larangan dan peperiksaan hafalan adalah langkah mundur; pendidikan mesti adaptif kerana graduan akan terus menggunakan AI.
Kita terlalu cepat menuduh AI merosakkan pendidikan.
Pelajar guna ChatGPT, kita kata mereka malas. AI boleh menulis esei, kita kata integriti akademik terancam. AI boleh menjawab peperiksaan, kita terus mencari cara mengesan penggunaannya.
Tetapi ada satu soalan yang lebih tidak selesa: Kalau sebuah mesin boleh menyiapkan tugasan universiti dengan baik dalam masa 30 saat, apakah tugasan itu benar-benar sedang menguji
kecerdikan manusia?
Mungkin masalah sebenar bukan AI. Mungkin masalahnya ialah universiti masih menggunakan bentuk penilaian yang direka untuk zaman sebelum AI.
Kita masih meminta pelajar “huraikan”, “bincangkan”, “jelaskan” dan “bandingkan” sesuatu yang kini boleh dilakukan mesin dengan mudah. Kemudian apabila mesin melakukannya, kita menyalahkan pelajar. Itu pelik.
Universiti tidak boleh mengekalkan sistem penilaian abad ke-20 kemudian marah apabila teknologi abad ke-21 mendedahkan kelemahannya.
AI sebenarnya sedang melakukan sesuatu yang sangat berguna kepada pendidikan tinggi. Ia sedang menunjukkan kepada kita tugasan mana yang selama ini sebenarnya hanya menguji keupayaan mengumpul dan menyusun maklumat, bukan keupayaan berfikir.
Kalau kita benar-benar mahu menguji manusia, ubah soalan. Jangan tanya pelajar apakah undang-undangnya. Berikan mereka undang-undang itu. Kemudian beri fakta yang bercanggah, autoriti yang tidak konsisten dan maklumat yang tidak lengkap.
Minta mereka membuat keputusan. Minta mereka mempertahankannya. Minta mereka menjelaskan mengapa jawapan AI salah. Minta mereka berdepan dengan soalan balas secara langsung. Di situlah manusia masih diperlukan.
Dalam bidang undang-undang, misalnya, seorang pelajar tidak sepatutnya hanya ditanya apakah prinsip dalam sesuatu kes. AI boleh memberitahunya.
Soalan yang lebih bermakna ialah: Jika dua autoriti sama kuat membawa kepada keputusan bertentangan, mana satu harus dipilih dan mengapa? Itu bukan pencarian maklumat. Itu pertimbangan dan pendidikan tinggi sepatutnya menguji pertimbangan.
Sebab itu saya kurang tertarik dengan obsesi sekarang untuk “mengesan penggunaan AI”. Kita sedang bertanya soalan yang salah.
Soalannya bukan: “Bagaimana kita memastikan pelajar tidak menggunakan AI?” Soalannya ialah: “Bagaimana kita membina penilaian yang masih mempunyai nilai walaupun pelajar mempunyai AI?”
Kalau jawapannya ialah kita perlu kembali kepada peperiksaan hafalan, tutup laptop dan larang teknologi, itu bukan inovasi pendidikan. Itu berundur.
AI tidak akan hilang selepas graduasi. Peguam akan menggunakannya. Doktor akan menggunakannya. Akauntan, jurutera, wartawan, penyelidik dan pentadbir akan menggunakannya.
Maka peperiksaan yang menguji kemampuan seseorang bekerja dalam dunia tanpa AI mungkin sebenarnya sedang menguji dunia yang sudah tidak wujud.
Cabaran universiti hari ini bukan mempertahankan tugasan lama daripada AI. Cabaran sebenar ialah mereka bentuk tugasan yang AI tidak boleh selesaikan tanpa manusia yang benar-benar memahami apa yang sedang dilakukannya.
Mungkin inilah perkara yang paling sukar untuk kita akui: AI tidak membunuh pendidikan tinggi. AI cuma sedang mendedahkan bahagian pendidikan tinggi yang sudah lama mati tetapi kita masih enggan menguburkannya.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Prof. Madya Dr. Shahrul Mizan Ismail
Fakulti Undang-Undang
Universiti Kebangsaan Malaysia
E-mel: shahrulmizan@ukm.edu.my