fb fb fb fb fb

Belanjawan 2025: Peruntukan Parlimen ditambah kepada RM180 juta

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 18 Oktober- Kerajaan menambah peruntukan Parlimen kepada RM180 juta dalam Belanjawan 2025 berbanding RM166 juta dalam Belanjawan 2024.

Perdana Menteri, Datuk Seri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Madani akan terus memelihara kebebasan institusi Parlimen.

Katanya, sebahagian peruntukan adalah untuk memperkasa peranan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Negara dan Dewan Rakyat sebagai wadah semak dan imbang.

“Sejumlah RM20 juta disediakan untuk menyokong All-Party Parliamentary Group Malaysia Sustainable Development Goals yang merentasi kawasan Parlimen dan parti politik,” katanya.

Sementara itu, kerajaan turut menaikkan peruntukan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang sebanyak RM209 juta berbanding RM194 juta pada Belanjawan 2024.

Jelas Anwar, Ini adalah selaras dengan komitmen reformasi perundangan dan insitusi oleh kerajaan MADANI.

Tambah beliau, kerajaan akan turut menubuhkan Pasukan Reformasi Perundangan bagi menerajui pengemaskinian khususnya undang-undang komersial seperti Akta Kontrak 1950 supaya seiring dengan peredaran zaman.

Pasukan tersebut juga akan turut terlibat mengkaji semula lebih 3,000 undang-undang lapuk.

"Kerajaan akan membentangkan RUU Kredit Pengguna pada Mesyuarat akan datang. Sebuah Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna akan ditubuhkan bagi mengawal selia penyedia kredit bukan bank dan penyedia perkhidmatan kredit seperti syarikat pemfaktoran, pemajakan bukan bank dan “Beli Sekarang Bayar Kemudian", katanya dalam Pembentangan Belanjawan 2025 Malaysia MADANI, di Parlimen, hari ini.

Selain itu, Anwar turut menegaskan kerajaan turut memperuntukkan lebih RM60 juta bagi menaik taraf prasarana kehakiman termasuk pembangunan sistem e-Kehakiman bagi memperkasa insitusi tersebut sebagai badan bebas.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD