
- Menghidap kanser hampir setahun; kesihatan merosot enam bulan terakhir, pergi dengan tenang pada hari berkat Ramadan.
- Bermula di RTM pada 1967, dikenali sebagai karyawan radio, televisyen dan filem serta penerbit dan pengarah drama terkenal.
- Terkenal dengan siri "Opah", menulis teater, novel, cerpen dan skrip radio; memenangi anugerah Shellmar dan Seri Panggung.
KELANA JAYA, 8 Mac – Bekas pengarah televisyen dan penerbit drama veteran, Abd Aziz Abas, meninggal dunia semalam pada usia 85 tahun.
Anak perempuannya, Hazleen Abdul Aziz, berkata Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.05 malam di kediamannya di Kelana Jaya selepas hampir setahun mengidap penyakit kanser yang semakin merosot sejak enam bulan lalu.
“Allahyarham mengidap kanser dan telah menanggung sakit kira-kira setahun. Penyakitnya makin merudum enam bulan yang lepas, tapi Alhamdulillah beliau pergi pada hari yang baik, pada bulan Ramadan yang mulia, Hari Nuzul Quran dan pergi dengan begitu tenang sekali,” kata Hazleen.
Jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid Hidayah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kota Damansara.
Hazleen turut mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan Allahyarham di RTM, PVRTM, IPPTAR dan sepanjang beliau bertugas di Angkasapuri. “Jiwa dan raganya memang bersama-sama dengan RTM,” katanya.
Allahyarham memulakan kerjayanya di RTM pada tahun 1967 dan dikenali sebagai karyawan radio, televisyen dan filem.
Beliau terkenal sebagai penerbit dan pengarah drama, sitkom serta telemovie, antaranya siri drama popular “Opah” yang bertemakan kekeluargaan.
Selain itu, Allahyarham berbakat dalam bidang penulisan teater, novel, cerpen serta skrip drama radio.
Karya seperti “Puteri Malisa Ratu Bertuah” mendapat tempat di hati pendengar drama radio ketika itu.
Bakat beliau terus menyerlah apabila memenangi hadiah di Shellmar Film Festival dan Anugerah Seri Panggung melalui karya-karya berbentuk cereka TV.