
PENDANG, 8 Mac– Hasrat seorang kanak-kanak perempuan yang menghidap kanser otak tahap empat untuk bercuti ke Pulau Langkawi mendapat perhatian Anak Muda Madani Kedah.
- NGO akan menanggung sebahagian kos perbelanjaan Nur Umairah dan keluarga sepanjang percutian selepas Aidilfitri.
- Pengerusi NGO Datuk Zuraidi Rahim melahirkan simpati terhadap penderitaan Nur Umairah dan akan cuba membantu merealisasikan impiannya.
- Zuraidi mengunjungi keluarga dan menyampaikan sumbangan peribadi di kediaman mereka di Kampung Banggol Senu.
- Ibu berkata Nur Umairah disahkan menghidap kanser otak tahap empat sejak 2020; tiada rawatan sesuai lagi, keluarga berdepan kekangan kewangan.
Badan bukan kerajaan (NGO) itu akan menanggung sebahagian kos perbelanjaan Nur Umairah Abdul Rahman, 12, dan keluarganya sepanjang berada di pulau tersebut yang dijangka selepas Aidilfitri ini.
Pengerusi Anak Muda Madani Kedah, Datuk Zuraidi Rahim berkata pihaknya amat bersimpati atas penderitaan ditanggung Nur Umairah selepas kisah hidup kanak-kanak itu, disiarkan di media beberapa hari lalu.
Katanya, keinginan Nur Umairah untuk bercuti di Pulau Langkawi terbantut berikutan kekangan kewangan keluarga.
Menurut Datuk Zuraidi, beliau akan cuba membantu merealisasikan impian Nur Umairah untuk melawat beberapa destinasi pelancongan menarik di pulau peranginan berkenaan.
Beliau berkata demikian selepas mengunjungi dan menyampaikan sumbangan peribadi kepada Nur Umairah di kediaman keluarganya di Kampung Banggol Senu, Mukim Tobiar, dekat sini.
Sementara itu, ibu Nur Umairah, Noor Shahirah Mohd Fuzi, 30, berkata anaknya dilahirkan normal dan tidak menghadapi apa-apa masalah kesihatan.
“Segalanya berubah pada 2020 selepas disahkan menghidap kanser otak (medulloblastoma) tahap empat,” katanya sambil memaklumkan sejak itu Nur Umairah menjalani kira-kira 30 kali radioterapi dan kimoterapi.
Noor Shahirah memberitahu dia tidak bekerja kerana mahu memberikan sepenuh perhatian menjaga Nur Umairah, serta seorang lagi anaknya yang berusia lapan tahun.
“Tiada lagi rawatan yang sesuai untuk Nur Umairah,” katanya.
Justeru, katanya dia dan suami, Mohd Nasri Ramli, 49, yang mencari rezeki sebagai pesawah berazam sedaya upaya untuk memenuhi segala keinginan anaknya itu selagi masih hidup, meskipun berdepan kekangan kewangan.