
SAUDARA PENGARANG
- Kepelbagaian budaya adalah teras identiti nasional, menyatukan masyarakat majmuk dan mencerminkan keharmonian Malaysia.
- Hidangan tradisi dan rumah terbuka simbol perpaduan serta bukti budaya saling melengkapi dalam kehidupan seharian.
- Sambutan lebih meluas melalui pendidikan, dialog budaya, festival dan aktiviti komuniti dapat mengurangkan prasangka dan memperkukuh hubungan antara kaum.
- Memelihara dan memartabatkan warisan budaya secara berhemah penting untuk kekal relevan, menjaga nilai kesantunan, moral dan keharmonian generasi akan datang.
Ramai yang mungkin tidak menyedari bahawa setiap 21 Mei merupakan sambutan Hari Kepelbagaian Budaya Sedunia untuk Dialog dan Pembangunan (World Day for Cultural Diversity for Dialogue and Development) yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Sambutan ini bertujuan menghargai kepelbagaian budaya dan menggalakkan persefahaman antara masyarakat dunia melalui dialog serta pembangunan sosial yang inklusif.
Bagi Malaysia, sebuah negara yang terkenal dengan masyarakat majmuk dan keharmonian pelbagai kaum, sambutan ini mempunyai nilai yang amat signifikan.
Kepelbagaian budaya di negara ini bukan sekadar wujud secara simbolik, malah menjadi sebahagian daripada identiti nasional yang diwarisi sejak sekian lama.
Budaya masyarakat Melayu, Cina, India serta etnik-etnik lain bukan sahaja hidup bersama, tetapi saling melengkapi dan membentuk keunikan Malaysia yang dihormati di peringkat antarabangsa.
Keistimewaan tersebut dapat dilihat menerusi pelbagai aspek kehidupan rakyat, khususnya makanan dan tradisi sosial. Hidangan seperti teh tarik, nasi lemak, roti canai dan kuey teow goreng dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa mengira kaum atau agama.
Makanan yang lahir daripada gabungan budaya ini menjadi lambang perpaduan serta bukti bahawa kepelbagaian mampu menyatukan masyarakat.
Selain itu, amalan rumah terbuka ketika musim perayaan turut mencerminkan semangat toleransi dan hormat-menghormati yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.
Penyediaan makanan halal, penghormatan terhadap pantang larang agama, serta sikap saling memahami sensitiviti budaya menunjukkan kematangan masyarakat majmuk negara ini. Nilai-nilai inilah yang menjadi asas kekuatan perpaduan nasional.
Sehubungan itu, Hari Kepelbagaian Budaya Sedunia sewajarnya diraikan dengan lebih meluas di Malaysia menerusi program pendidikan, dialog antara budaya, festival kesenian dan aktiviti komuniti yang mampu memperkukuh hubungan antara kaum.
Usaha ini penting bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap adat, budaya dan kepercayaan yang berbeza, sekali gus mengurangkan prasangka serta stereotaip sosial.
Dalam era globalisasi yang semakin mencabar, kepelbagaian budaya tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman, sebaliknya sebagai kekuatan yang mampu memperkayakan identiti negara.
Namun begitu, pemeliharaan budaya tempatan perlu dilakukan secara berhemah agar nilai kesantunan, moral dan keharmonian masyarakat terus terpelihara selaras dengan norma agama serta budaya rakyat Malaysia.
Malaysia sebenarnya tidak ketandusan identiti budaya untuk diketengahkan kepada dunia. Negara ini memiliki khazanah warisan yang unik, kaya dengan seni, adat resam, bahasa dan tradisi yang mampu menjadi daya tarikan pelancongan serta sumber kebanggaan rakyat.
Oleh itu, usaha memartabatkan budaya tempatan perlu diperkasakan secara berterusan supaya warisan negara kekal relevan kepada generasi akan datang.
Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, pelbagai acara dan inisiatif yang mengetengahkan kepelbagaian budaya wajar dipergiat bagi memperkenalkan keunikan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa.
Langkah ini bukan sahaja dapat memperkukuh identiti nasional, malah membantu mempromosikan imej Malaysia sebagai sebuah negara aman, harmoni dan kaya dengan warisan budaya.
Kepelbagaian budaya yang diasaskan atas rasa hormat, toleransi dan persefahaman adalah aset paling berharga negara.
Jika terus dipelihara dan diraikan dengan bijaksana, Malaysia mampu menjadi contoh terbaik kepada dunia tentang bagaimana masyarakat berbilang kaum dapat hidup dalam suasana aman dan saling menghormati.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Prof. Madya Dr. Siti Suriawati Isa
Jabatan Rekreasi dan Ekopelancongan
Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar
Universiti Putra Malaysia
E-mel: ssuria4@upm.edu.my