Sultan Ibrahim berkenan saksikan demonstrasi udara Sukhoi Su-57E di Moscow

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim (empat dari kiri) bersama juruterbang ujian terkenal Rusia, Sergei Bogdan (dua dari kanan) di Moscow, Rusia / Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR, 8 Mei – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyaksikan demonstrasi udara jet pejuang pelbagai peranan generasi kelima Sukhoi Su-57E di Lapangan Terbang Antarabangsa Zhukovsky, Moscow, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Demonstrasi dikendalikan juruterbang ujian terkenal Sergei Bogdan, penerima gelaran Hero of Russia dan juruterbang ujian utama Sukhoi sejak 2000.
  • Bogdan dikenali sebagai antara individu penting dalam program pembangunan pesawat tempur generasi kelima Rusia.
  • Persembahan hampir tujuh minit mempamerkan kecanggihan radar dan kemampuan operasi pelbagai peranan Su-57E.
  • Seri Paduka menerima taklimat, meninjau ruang dalaman Su-57E, diiringi Menteri Pertahanan dan Duta Besar, tiba atas jemputan khas Rusia.

Demonstrasi berkenaan dikendalikan juruterbang ujian terkenal Rusia dan penerima gelaran “Hero of Russia”, Sergei Bogdan, 64, yang juga juruterbang ujian utama syarikat Sukhoi sejak tahun 2000.

Bogdan dikenali sebagai antara individu penting dalam program pembangunan pesawat tempur generasi kelima Rusia.

Menurut catatan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, persembahan udara selama hampir tujuh minit itu mempamerkan keupayaan teknologi ketenteraan moden Persekutuan Rusia termasuk kecanggihan sistem radar serta kemampuan operasi pelbagai peranan jet pejuang berkenaan.

Seri Paduka Baginda turut berkenan dipersembahkan taklimat mengenai Su-57E selain meluangkan masa meninjau ruang dalaman pesawat selepas demonstrasi selesai.

Mengiringi keberangkatan Seri Paduka Baginda ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Duta Besar Malaysia ke Persekutuan Rusia, Datuk Cheong Loon Lai.

Terdahulu, keberangkatan tiba Sultan Ibrahim disambut Timbalan Pengarah Perkhidmatan Persekutuan bagi Kerjasama Ketenteraan-Teknikal Rusia (FSMTC), Mikhail Petukhov.

Sultan Ibrahim berangkat tiba di Moscow kelmarin atas jemputan khas Kerajaan Persekutuan Rusia sebagai tetamu kehormat bersempena sambutan Hari Kemenangan yang akan berlangsung esok, 9 Mei.