KUALA LUMPUR, 22 Mac- Pelancaran Bazar Raya NADI berlangsung serentak di 1,077 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara melibatkan lebih 5,000 penyertaan usahawan.
Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Fahmi Fadzil berkata inisiatif itu memberi peluang kepada usahawan memperluas pasaran dan capaian pelanggan menjelang Aidilfitri.
"Jadi, kesemua usahawan ini kita jemput untuk meningkatkan pendapatan mereka. Ia diadakan serentak bagi menonjolkan keberadaan NADI dalam komuniti masing-masing," katanya selepas melancarkan Bazar Raya NADI di Sri Pantai di sini hari ini.
Bagi pelanggan, program tersebut membantu meringankan beban kewangan mereka dalam membuat persiapan perayaan.
Seorang pelanggan, Maznah Ahmad Mina berharap kerajaan dapat memperluaskan serta menambah lagi penganjuran bazar seperti ini kerana ia banyak membantu golongan kurang berkemampuan.
"Saya harap kerajaan dapat memperluaskan lagi dan menambah lagi, sebab dapat membantu orang susah," katanya.
Sementara itu, Mohd Razman Mohd Yaakob menyifatkan program tersebut memberi manfaat kepada rakyat biasa dengan tawaran harga lebih murah berbanding pasar raya.
"Dengan program yang dianjurkan macam ini, dapat ringankan beban rakyat biasa macam saya. Dapat harga promosi, harga lebih murah daripada pasar raya yang ada sekarang," katanya.
Bagi Siti Mariam Abdul Razak, inisiatif itu memberi peluang kepada golongan B40 mendapatkan barangan berkualiti dengan harga berpatutan untuk keperluan Aidilfitri.
"Jualan Rahmah hari ini membantu kami golongan B40 untuk membeli barang lebih murah, berkualiti dan sesuai untuk sambutan raya," katanya.