
MEKAH, 30 April – Lembaga Tabung Haji (TH) terus komited untuk memastikan kesejahteraan jemaah haji negara berada pada tahap terbaik dengan menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik dari hotel penginapan ke Masjidil Haram.
- Lapan bas ulang alik disediakan percuma, beroperasi 24 jam untuk memudahkan jemaah ke Masjidil Haram.
- Perkhidmatan dari Abraj Al Tayseer ke Stesen Bas Jarwal, perjalanan kira-kira 10 minit dan berjalan kaki 300 meter.
- Memudahkan pergerakan bila-bila masa, tingkatkan tumpuan ibadah dan bantu pelihara kesihatan menjelang Hari Wukuf.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata, sebanyak lapan buah bas disediakan secara percuma dan akan beroperasi 24 jam, khusus bagi memudahkan perjalanan jemaah haji Malaysia ke masjid.
Inisiatif ini menjadi bukti komitmen TH dalam melaksanakan penambahbaikan berterusan terhadap penyampaian perkhidmatan kepada jemaah haji.
“Inilah satu nilai tambah yang diberi tabung haji untuk tahun ini, pertama kali kita buat perkhimatan bas dari Al Tasyeer ke Masjidil Haram yang mengambil masa lebih kurang 10 minit sahaja dan mereka berjalan kaki dalam 300 meter untuk sampai ke Masjidil Haram, salah satu kemudahan yang sangat baik untuk jemaah haji,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Menurut Mohd Hisham, perkhidmatan bas secara ulang-alik ini akan beroperasi dari Hotel Abraj Al Tayseer ke Stesen Bas Jarwal yang terletak berhampiran Dataran Masjidil Haram.
Dengan adanya perkhidmatan bas ini, jemaah kini mempunyai alternatif untuk bergerak ke masjid pada bila-bila masa dengan lebih baik, lebih mudah dan lebih lancar, sekali gus membantu mereka lebih fokus terhadap ibadah di Tanah Suci.
Beliau juga berharap inisiatif ini dapat membantu memelihara tahap kesihatan jemaah terutamanya menjelang kemuncak musim haji iaitu Hari Wukuf memandangkan keadaan cuaca yang semakin panas di Mekah.
Bagi musim haji 1447H/2026M, TH menyediakan lima bangunan penginapan di Mekah untuk menempatkan 31,600 jemaah, iaitu di Abraj Al Tayseer, Rehab Al Janadriyah, Al Kiswah Tower Hotel, Abraj Al Janadriyah dan Qasr Al Janadriyah.