BAP akan diagih lebih awal mulai tahun depan

Gelagat pengunjung ketika membeli kelengkapan persekolahan / Foto fail BERNAMA

PUTRAJAYA, 9 Januari -Bantuan Awal Persekolahan (BAP) akan diagihkan lebih awal bermula tahun hadapan bagi membolehkan ibu bapa membuat persiapan sekolah dengan lebih terancang.

RINGKASAN BERITA AI
  • BAP akan diagihkan lebih awal mulai tahun depan untuk membolehkan ibu bapa membuat persiapan sekolah lebih terancang.
  • BAP tahun ini diberikan secara tunai di sekolah, sebanyak RM150 kepada kira-kira 5.2 juta murid.
  • Isu kenaikan tambang bas sekolah akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk dibahas secara menyeluruh.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, keputusan itu dibuat susulan rungutan ibu bapa berhubung agihan BAP tahun ini yang bermula pada minggu pertama sesi persekolahan.

“Kebetulan tahun ini sesi persekolahan bermula pada Januari, jadi memang ada sedikit rungutan yang kami terima.

Mulai tahun hadapan, kami akan perbaiki dan mengambil saranan ini secara serius supaya BAP diberikan lebih awal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan amanat tahun baharu kepada warga Kementerian Pendidikan, di sini hari ini.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM800 juta bagi menyediakan BAP sebanyak RM150 kepada semua pelajar tahun satu hingga tingkatan enam tahun ini.

Bagi tahun ini, ibu bapa atau penjaga perlu hadir ke sekolah untuk menerima bantuan berkenaan bermula 11 Januari.

BAP merupakan bantuan tunai sekali bayar berjumlah RM150 yang diberikan kepada kira-kira 5.2 juta murid.

Inisiatif itu dilaksana bagi meringankan beban perbelanjaan ibu bapa atau penjaga dalam menyediakan keperluan persekolahan.

Penyaluran bantuan tahun ini kembali dibuat secara serahan tunai di sekolah menerusi program pertemuan antara guru dan ibu bapa.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina memberitahu, Jemaah Menteri dijadual membincangkan isu jangkaan kenaikan tambang bas sekolah pada mesyuarat petang ini.

“Saya akan membawa perkara ini ke mesyuarat Jemaah Menteri supaya dapat dilihat secara menyeluruh,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia menjangkakan berlaku kenaikan tambang bas sekolah susulan peningkatan kos operasi seperti insurans, gaji pemandu dan alat ganti kenderaan.