
PUTRAJAYA 9 Januari -Kementerian Pendidikan (KPM) mengalu-alukan hasrat mana-mana pihak untuk membantu melengkapkan sekolah dengan sistem kamera litar tertutup (CCTV).
- KPM mengalu-alukan bantuan pihak luar untuk melengkapkan sekolah dengan sistem CCTV demi keselamatan murid.
- Pemasangan CCTV boleh dilaksanakan melalui PIBG, sektor swasta dan penglibatan NGO komuniti.
- KPM menegaskan tanggungjawab memastikan CCTV berfungsi dan menyediakan penyelenggaraan yang berterusan.
- Hasil audit menunjukkan hanya sekitar 28.9% sekolah mempunyai CCTV berfungsi sepenuhnya.
- Lebih 300 CCTV akan dipasang tahun ini sebagai inisiatif segera dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2026-2035.
Menterinya Fadhlina Sidek berkata, ini memandangkan isu keselamatan sekolah menjadi kepentingan ibu bapa.
Katanya, inisiatif berkait CCTV di sekolah boleh dilaksanakan melalui pelbagai cara,
termasuk kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pihak swasta serta pembabitan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) peringkat komuniti.
“Apabila kita sebut keselamatan sekolah ia adalah soal keyakinan ibubapa kepada kita. Jadi kalau ada 28% sahaja yang berfungsi itu adalah tanggungjawab kita untuk selesaikan. Jadi kita ada pertambahan 300 CCTV di seluruh negara di semua sekolah di sekolah tertentu tu. Jadi ia mesti dibawa bersama tanggungjawab untuk memastikan ia benar-benar berfungsi.
“Jadi saya nak semua memastikan semua dalam keadaan berfungsi dan KPM ada penyelenggaraan itu dan kita akan pastikan terus berfungsi,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Menteri Pendidikan, di sini.
Dalam pada itu ketika ini 28.9 peratus sekolah mempunyai kemudahan CCTV yang berfungsi dengan sempurna, melibatkan sekolah harian dan sekolah berasrama penuh.
Dapatan itu hasil Audit Keselamatan Murid dan Asrama yang dilaksanakan oleh Jemaah Nazir pada tahun lepas melibatkan 850 sekolah di seluruh negara.
Fadhlina berkata, dalam usaha meningkatkan kawalan keselamatan fizikal, sistem CCTV akan dipasang di lebih 300 sekolah pada tahun ini sebagai sebahagian daripada inisiatif segera (Quick Win) Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2026-2035.