
PUTRAJAYA, 27 September – Kerajaan Nepal sedang mempertimbang langkah perundangan bagi menangani kes individu termasuk warga asing yang statusnya masih belum dapat dipastikan susulan bencana alam yang melanda negara itu, bulan lepas.
- Wisma Putra memaklumkan langkah masih tertakluk kepada proses perundangan domestik Nepal dan belum berkuat kuasa.
- Penentuan status individu dan pengeluaran dokumen rasmi tertakluk kepada undang-undang serta prosedur pihak berkuasa Nepal dan Malaysia.
- Kedutaan Malaysia di Kathmandu akan terus berhubung dengan pihak berkuasa Nepal serta menyelaras tindakan dengan agensi tempatan.
- Mesyuarat bersama waris melibatkan SMART, PDRM, Jabatan Kimia, JPN dan JKM; keluarga diberi perkembangan dan sokongan kaunseling.
Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah berkenaan masih tertakluk kepada proses perundangan domestik Nepal dan belum berkuat kuasa setakat ini.
Sebarang penentuan mengenai status seseorang individu dan pengeluaran dokumen rasmi pula tertakluk kepada undang-undang serta prosedur pihak berkuasa berkaitan di Nepal dan Malaysia.
“Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu akan terus berhubung dengan pihak berkuasa Nepal untuk mendapatkan penjelasan mengenai proses dan dokumentasi yang berkenaan sekiranya langkah tersebut dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.
Perkembangan berkenaan turut dibincangkan dalam pertemuan bersama 95 waris terdekat dan wakil keluarga yang mewakili 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi susulan bencana berkenaan.
Sesi berkenaan turut melibatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kimia Malaysia, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu dan Beijing serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Kaunselor daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut hadir bagi memberikan sokongan kepada ahli keluarga sepanjang sesi berkenaan.
Dalam pertemuan itu, keluarga turut diberikan perkembangan terkini yang telah disahkan serta ruang mengemukakan pertanyaan secara langsung kepada kementerian dan agensi kerajaan terlibat.
“Seiring dengan usaha yang kini memasuki fasa jangka panjang, sesi berkenaan turut membincangkan proses perundangan dan pentadbiran yang mungkin terpakai kepada keluarga rakyat Malaysia yang terkesan,” jelas kenyataan itu.
Orang ramai dan media diminta supaya menghormati privasi keluarga serta mengelakkan spekulasi mengenai individu yang statusnya masih belum dapat disahkan.
Dalam kejadian pada 26 Ogos lalu, banjir dan aliran puing melanda beberapa kawasan di Nepal sehingga mengorbankan lebih 1,400 orang, manakala ribuan lagi dilaporkan hilang.
Bencana itu turut menjejaskan lebih 80,000 penduduk serta menyebabkan kerosakan besar terhadap kediaman, kemudahan awam dan infrastruktur.
Kejadian berkenaan antara lain dikaitkan dengan runtuhan ais dan batu di kawasan Langtang Lirung yang mencetuskan aliran puing besar ke kawasan hilir.