fb fb fb fb fb

Banjir Melaka, kebajikan penduduk terjejas di PPS terjamin - Exco

Exco negeri, Datuk Rais Yasin (kiri) menyantuni mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ketika mengadakan lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum di Merlimau hari ini/BERNAMA

MERLIMAU, 6 Mac- Kerajaan Melaka memberi jaminan kebajikan penduduk terjejas banjir yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dalam bulan Ramadan ini, terjamin.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata segala keperluan termasuk juadah berbuka puasa dan sahur disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa cakna dengan kebajikan mereka yang terjejas khasnya pada bulan Ramadan ini.

"Jadi, kita memang sentiasa peka tetapi kita juga perlu bantuan daripada masyarakat supaya bagi kerjasama. Jangan takut berpindah ke PPS. Ia adalah lebih baik jika berada di sini.

Kita akan jaga seluruh kebajikan, termasuk semua ADUN turut datang melawat penduduk terjejas. Ini meliputi juadah berbuka, sahur dan sebagainya. Mereka yang tidak berpuasa juga ada kita sediakan merangkumi makanan untuk anak-anak," kata Datuk Rais kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika turun padang melawat penduduk terjejas banjir di PPS SMK Dang Anum, Merlimau Jasin.

Datuk Rais berkata kerajaan negeri dalam proses menyelesaikan masalah banjir di Melaka melalui projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di sekitar negeri itu.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM