fb fb fb fb fb

Banjir gelombang pertama, 475 petani di Terengganu rugi lebih RM3.2 juta

Kesemua yang terjejas kebanyakannya tinggal di pinggir pantai di daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang, Besut dan Setiu

KUALA TERENGGANU, 11 Disember - Banjir gelombang pertama bulan lalu di Terengganu mengakibatkan 475 petani dan pesawah kerugian lebih RM3.2 juta melibatkan kawasan seluas 1,031 hektar.

Kesemua yang terjejas kebanyakannya tinggal di pinggir pantai di daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang, Besut dan juga Setiu.

Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Datuk Zulkepli Amin Mat Jusoh berkata daripada jumlah itu, RM2.3 juta melibatkan kemusnahan tanaman padi.

Manakala RM872,700 melibatkan sektor agromakanan.

Beliau berkata, bagi tanaman padi, 331 pesawah terjejas melibatkan tanaman seluas 732 hektar dan untuk sektor agromakanan pula melibatkan 143 petani dengan keluasan tanaman 285 hektar. 

"Tiap-tiap tahun kita ada tabung dari Persekutuan dan juga tabung bencana negerilah dan dalam masa terdekat kita akan adakan mesyuarat bagaimana kita dapat membantu sekurang-kurangnya mereka boleh bangkit kembali dengan insentif kita bagi ini.

"Contohnya padi untuk mereka beli benih begitu juga sayur-sayuran, buah-buahan," katanya ketika ditemui pemberita, di sini.

Tambah Zulkepli, pihaknya juga telah melakukan pelan kontigensi bagi menghadapi banjir seterusnya.

Ini termasuk membersihkan sistem perparitan, serta berkerjasama rapat dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN