
KUALA LUMPUR, 29 Januari -Peluang sewajarnya perlu diberi kepada Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan bagi menyerlahkan bakat dalam industri kreatif arus perdana.
- Buka ruang dalam industri kreatif arus perdana untuk bakat OKU penglihatan, bukan hanya menyerahkan kepada NGO.
- Sokongan ekosistem mesra OKU termasuk dana, pembiayaan, teknologi dan platform digital.
- Tingkatkan aksesibiliti perkhidmatan digital kerajaan serta pembangunan aplikasi dan sistem mesra OKU penglihatan.
Malah, golongan itu mesti disokong dengan ekosistem industri yang lebih mesra OKU.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, bakat komuniti berkenaan berpotensi menyumbang secara signifikan dalam bidang muzik, penyiaran, pengacaraan dan penghasilan kandungan kreatif.
“Banyak bakat yang ada dalam kalangan mereka dan saya percaya ruang perlu dibuka, bukan sekadar menyerahkan tanggungjawab kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tetapi membawa mereka masuk ke dalam ekosistem sebenar industri,” katanya.
Datuk Fahmi berkata demikian selepas menghadiri sesi townhall Isu Industri Kreatif OKU di Malaysian Association for the Blind (MAB), Brickfields, hari ini.
Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan peruntukan dana berjumlah RM30,000 kepada MAB bagi melaksanakan program-program berkaitan pembangunan bakat dan penglibatan komuniti OKU penglihatan dalam industri kreatif.
Menurut beliau, industri kreatif bawah Kementerian Komunikasi merangkumi pelbagai cabang termasuk muzik, filem, animasi dan penyiaran.
Sokongan geran serta pembiayaan disalurkan melalui agensi seperti MyCreative Ventures, manakala aspek filem dan animasi turut melibatkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Kementerian juga terbuka untuk meneliti cadangan memberi ruang kepada artis OKU penglihatan dalam media arus perdana, termasuk sebagai pengacara dan penyampai berita.
Dalam pada itu, Datuk Fahmi menegaskan keperluan mendesak untuk memastikan akses dalam industri kreatif bukan hanya tertumpu kepada kemudahan fizikal.
Malah, turut melibatkan akses kepada dana, pembiayaan, teknologi dan platform digital.
“Isu akses ini sering terlepas pandang. Ia bukan sekadar laluan fizikal, tetapi juga peluang pembiayaan, penyertaan dalam program dan pengalaman menggunakan sistem serta aplikasi,” katanya lagi.
Datuk Fahmi turut mengakui, masih terdapat kelemahan dalam perkhidmatan digital kerajaan yang mesra OKU.
Ia termasuk aplikasi dan laman web yang boleh menyebabkan komuniti OKU penglihatan tercicir daripada arus digital.
Sehubungan itu, perkara berkenaan akan dibawa kepada Jabatan Digital Negara serta pihak berkaitan bagi memastikan pembangunan aplikasi dan sistem kerajaan mengambil kira keperluan OKU penglihatan.