Pembelajaran praktikal sains dan teknologi tingkatkan minat, kemahiran pelajar

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Januari – Pendedahan awal kepada sains dan teknologi melalui kaedah pembelajaran secara praktikal dilihat mampu membina minat serta kemahiran masa depan dalam kalangan pelajar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembelajaran praktikal seperti robotik, dron dan prototaip bina minat serta kemahiran teknologi pelajar.
  • Pendedahan awal kepada teknologi memberi peluang faham konsep secara langsung dan membina kemahiran masa depan.
  • Teknologi mesti disertai nilai kemanusiaan dan tanggungjawab, bukan hanya penggunaan semata-mata.
  • Teknologi perlu digunakan untuk pembelajaran, inovasi dan penyelesaian masalah, bukan untuk menipu atau mudaratkan orang lain.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata, pengalaman seperti penggunaan teknologi 5G, pembelajaran robotik, dron dan pembinaan prototaip memberi peluang kepada pelajar memahami teknologi secara langsung.

“Bila anda bina prototaip di MakersLab, bermain robotik, atau mengawal dron, anda sebenarnya sedang membina kemahiran masa depan. Kita mahu setiap pelajar, tanpa mengira latar belakang, merasai bahawa sains, teknologi dan masa depan negara ini juga milik semua,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Sekolah Angkat MADANI di sini hari ini.

Tambah beliau, penggunaan teknologi turut perlu disertai nilai kemanusiaan dan tanggungjawab.

“Teknologi tanpa nilai boleh menjadi bahaya. Kita tidak boleh sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi perlu menjadi pencipta dan pengguna yang bertanggungjawab, memahami etika dan disiplin,” katanya lagi.

Menurutnya, penggunaan teknologi perlu digunakan untuk belajar, membina idea dan menyelesaikan masalah, bukan untuk menipu dan menyebarkan perkara yang memudaratkan.