Bahasa Melayu tonggak perpaduan masyarakat berbilang kaum

Pensyarah dan Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara, Profesor Madya Dr Charanjit Kaur/RTM

KUALA LUMPUR, 27 Januari -Bahasa Melayu berupaya menjadi bahasa penyatu masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bahasa Melayu mampu memupuk perpaduan dan pembinaan negara bangsa melalui asas linguistik yang kukuh.
  • Keluarga bertanggungjawab menggalakkan penggunaan Bahasa Melayu di rumah untuk menyokong sekolah dan sikap positif.
  • Pelajar perlu inisiatif memperbaiki penguasaan bahasa melalui pembacaan, pergaulan dan mencari rakan berbahasa Melayu.

Pensyarah dan Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara, Profesor Madya Dr Charanjit Kaur berkata, Bahasa Melayu mempunyai asas yang kukuh dalam memupuk semangat kemasyarakatan, perpaduan serta pembinaan negara bangsa.

Bagaimanapun katanya, peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa penyatuan berdepan cabaran seperti penggunaan bahasa ibunda secara berlebihan serta kecenderungan masyarakat menggunakan bahasa asing dalam kehidupan seharian.

“Tidak salah menggunakan bahasa lain, tetapi sebagai rakyat Malaysia, dalam konteks dan situasi di negara ini, kita seharusnya menggunakan Bahasa Melayu. Apa salahnya? Semuanya bermula daripada kita,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu dalam Rancangan Selamat Pagi Malaysia, di Angkasapuri.

Mengulas tahap penguasaan Bahasa Melayu yang masih belum mencapai tahap diharapkan dalam kalangan masyarakat, Dr. Charanjit Kaur menolak pandangan yang terlalu mengasingkan isu bahasa antara Melayu dan bukan Melayu.

Jelasnya, ia lebih bersifat linguistik dan melibatkan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

Sehubungan itu, institusi kekeluargaan perlu memainkan peranan penting dalam membentuk sikap terhadap Bahasa Melayu.

Kegagalan keluarga menggalakkan penggunaan Bahasa Melayu di rumah menyebabkan sekolah menanggung beban apabila menerima pelajar yang sudah mempunyai persepsi negatif terhadap bahasa kebangsaan.

“Keluarga harus bertanggungjawab. Sebagai warganegara yang bertanggungjawab, anak-anak di rumah perlu dididik dengan baik dan penggunaan Bahasa Melayu harus diperluaskan dalam kehidupan seharian,” katanya.

Selain peranan keluarga dan sekolah, pelajar juga perlu mengambil inisiatif sendiri untuk memantapkan penguasaan bahasa melalui pembacaan dan pergaulan.

“Kalau tiada rakan yang berbahasa Melayu, carilah seorang rakan dan berkomunikasi. Dengan cara itu, suatu hari nanti kita tidak perlu lagi bertanya mengapa Bahasa Melayu tidak dimartabatkan di negara kita,” katanya lagi.