
ALOR GAJAH, 23 April – Pembelajaran bahasa Mandarin dan Tamil akan diperkenalkan kepada pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) bermula tahun hadapan.
- Bahasa Cina dan Tamil dimasukkan dalam Kurikulum Persekolahan 2027 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
- Tujuan untuk membolehkan pelajar PPKI yang berprestasi memasuki kelas aliran perdana dengan menguasai bahasa ibunda.
- 140 SJKT dengan minimum 30 pelajar akan dibekalkan televisyen pintar tahun ini, susulan pemberian peranti kepada 387 SJKT tahun lalu.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada Kurikulum Persekolahan 2027 yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Ini amat penting kerana bagi pelajar PPKI, ada mempunyai progres yang baik mereka boleh masuk ke kelas aliran perdana dengan mereka perlu mempunyai kemahiran ataupun pengetahuan untuk menguasai bahasa ibunda sendiri dalam pembelajaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Simposium Kepimpinan Digital Guru Besar SJKT Malaysia ke Arah Reformasi Pendidikan MADANI 2026, di sini, malam tadi.
Simposium selama tiga hari itu menghimpunkan kira-kira 470 guru besar SJKT dari seluruh negara.
Tambahnya, KPM turut merancang penempatan guru Bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah yang mempunyai aliran PPKI di seluruh negara.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata sebanyak 140 SJKT yang mempunyai sekurang-kurangnya 30 pelajar akan dibekalkan televisyen pintar tahun ini.
Langkah itu susulan pemberian peranti sama kepada 387 SJKT tahun lalu melalui peruntukan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).