
PETALING JAYA, 16 Mac – Masa depan rantau ASEAN kekal positif meskipun berdepan ketegangan geopolitik global termasuk konflik di Asia Barat, menurut Presiden Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB-SDSN), Prof. Jeffrey D. Sachs.
- Dunia multipolar dengan pelbagai pusat kuasa ekonomi dan teknologi berkembang.
- Kebangkitan ekonomi China, India dan kemajuan ASEAN mengubah keseimbangan kuasa ekonomi dunia.
- Kemajuan teknologi tenaga bersih, kenderaan elektrik dan rantaian bekalan industri hijau menjadi pemacu pertumbuhan.
- ASEAN mampu menyesuaikan diri dengan cabaran geopolitik dan terus berkembang; kepimpinan Anwar memperkukuh profil rantau di peringkat global.
Beliau berkata dunia kini sedang melalui perubahan geopolitik besar yang membawa kepada kemunculan sistem global baharu yang lebih bersifat multipolar.
Menurutnya, kebangkitan ekonomi negara Asia seperti China dan India serta perkembangan pesat negara-negara ASEAN telah mengubah keseimbangan kuasa ekonomi dunia.
“Kita kini benar-benar berada dalam dunia multipolar dengan pelbagai pusat kuasa ekonomi dan teknologi yang semakin berkembang,” katanya ketika berucap pada syarahan awam bertajuk “The Future of ASEAN in a Multi-Polar World” di Sunway University.
Sachs turut menjelaskan bahawa kemajuan teknologi, khususnya dalam sektor tenaga bersih, kenderaan elektrik serta rantaian bekalan industri hijau akan menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi global pada masa depan.
Menurutnya, sekiranya negara-negara dunia dapat memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi dan mengelakkan konflik, masa depan ekonomi global berpotensi menjadi lebih mampan dan inklusif.
Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Seri Dr. Jeffrey Cheah, berkata meskipun situasi geopolitik dunia ketika ini membimbangkan, negara-negara ASEAN mempunyai keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan cabaran semasa dan terus berkembang sebagai rantau ekonomi penting.
Beliau turut memuji kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjaya memperkukuh profil ASEAN di peringkat global.