Arnold antara penerima awal faedah LINDUNG 24 Jam PERKESO

Foto perkongsian Facebook Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PERKESO Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Seorang pemuda yang cedera parah akibat terjatuh tangga di rumahnya menjadi antara penerima terawal faedah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) atau LINDUNG 24 Jam.

RINGKASAN BERITA AI
  • PERKESO lulus pembiayaan penuh rawatan termasuk prosedur implan tulang belakang selepas semakan mendapati mangsa pencarum aktif skim LINDUNG 24 Jam.
  • Mangsa layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara sebagai gantian pendapatan sepanjang tempoh tidak bekerja atas pengesyoran doktor.
  • PERKESO sediakan peralatan pemulihan seperti kerusi roda commode dan alat pengurusan beg saliran serta fisioterapi percuma bawah Program Return To Work.
  • Kes ini bukti keberkesanan LINDUNG 24 Jam dan PERKESO mengingatkan majikan serta pekerja supaya mematuhi potongan caruman untuk perlindungan 24 jam.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi kenyataan memaklumkan, bantuan komprehensif diberikan termasuk pembiayaan penuh rawatan serta prosedur implan tulang belakang itu diluluskan selepas semakan mendapati, mangsa merupakan pencarum aktif skim baharu yang dikuatkuasakan pada 1 Jun lalu.

“Meskipun insiden pada 6 Jun itu berlaku di luar waktu bekerja, status caruman aktif mangsa, Arnold Nathanael Lister, 24, melayakkan beliau menerima jaringan keselamatan sosial sepenuhnya bagi mengelakkan impak bebanan kewangan yang kritikal.

“Mangsa juga layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) sebagai gantian pendapatan sepanjang tempoh mangsa tidak bekerja atas pengesyoran doktor,” menurut kenyataan itu.

Mangsa yang berasal dari Penampang, Sabah itu turut menerima pembekalan peralatan pemulihan termasuk kerusi roda khas (commode wheelchair) dan alat pengurusan beg saliran air kencing, disusuli kemudahan rawatan fisioterapi percuma bawah Program Return To Work (RTW) PERKESO mengikut tahap kesediaannya kelak.

PERKESO dalam kenyataan sama menegaskan kes yang menimpa Arnold adalah bukti nyata keberkesanan skim LINDUNG 24 Jam.

“Sebelum ini, pekerja yang ditimpa kemalangan domestik di rumah sering terperangkap tanpa perlindungan kewangan, namun skim baharu ini bertindak sebagai talian hayat segera bagi
menanggung kos rawatan dan menjamin kelangsungan hidup pencaru,” tambah kenyataan itu.

Difahamkan kejadian sekitar 5.20 pagi itu, Arnold yang menetap di Kampung Kaambazan Kolopis, Penampang, sedang bersiap untuk ke tempat kerja.

Berikutan kediamannya sedang diubah suai, mangsa terpaksa menggunakan tangga untuk ke bilik mandi sebelum tergelincir dan terjatuh.

Impak trauma berkenaan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius melibatkan patah serta himpitan pada tulang belakang dan beliau kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Dalam pada itu PERKESO turut mengingatkan semua majikan dan pekerja di seluruh negara untuk memastikan potongan caruman dipatuhi sebaiknya demi menjamin perlindungan 24 jam yang optimum daripada sebarang kemalangan luar jangka.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.