Tengku Amir Shah tinjau potensi pelancongan, kemudahan rekreasi di Sepang

Foto ihsan FB Raja Muda Selangor – RMS

SEPANG, 10 Jun – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan meneruskan siri Jelajah Gagasan Rumpun Selangor 2.0 dengan berangkat ke daerah Sepang hari ini, yang merupakan destinasi keempat program berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Melawat kawasan rekreasi Bagan Lalang dan Jeti Kampung Jelutong Indah untuk meninjau potensi tarikan pelancongan dan sumber ekonomi baharu.
  • Kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta melalui geran padanan untuk menaik taraf kemudahan di kedua lokasi demi manfaat komuniti.
  • Tapak rumah rehat di Kampung Bagan Lalang dicadangkan dibangunkan sebagai taman rekreasi bagi menambah kemudahan riadah penduduk.
  • Jeti Mat Zin dicadangkan dibangunkan semula sebagai jeti pelancongan, menawarkan aktiviti rekreasi air seperti parasailing dan bot pelancongan.

Dalam lawatan tersebut, baginda berkenan melawat kawasan rekreasi Bagan Lalang dan Jeti Kampung Jelutong Indah bagi meninjau potensi pembangunan yang boleh diperkasakan sebagai tarikan pelancongan serta sumber ekonomi baharu kepada penduduk setempat.

Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta menerusi program geran padanan bagi menaik taraf kemudahan di kedua-dua lokasi tersebut.

Menurut beliau, peruntukan itu diharap dapat meningkatkan kemudahan awam, memberi manfaat kepada komuniti setempat serta merancakkan sektor pelancongan di daerah Sepang.

“Baginda turut mencemar duli meninjau tapak asal rumah rehat di Kampung Bagan Lalang yang dicadangkan untuk dibangunkan sebagai taman rekreasi. Cadangan itu dilihat bertepatan memandangkan penduduk setempat ketika ini memerlukan lebih banyak kemudahan riadah.

“Selain itu, baginda berkenan melawat Jeti Mat Zin di Kampung Jelutong Indah yang mempunyai sebuah jeti lama dan uzur. Baginda mencadangkan supaya kemudahan itu dibangunkan semula sebagai jeti pelancongan,” katanya selepas mengiringi Tengku Amir Shah dalam lawatan jelajah tersebut.

Beliau berkata, jeti yang dinaik taraf itu bukan sahaja berpotensi menjadi tarikan pelancongan, malah boleh dimanfaatkan bagi aktiviti rekreasi air seperti parasailing dan bot pelancongan.

Menurutnya, pembangunan tersebut juga mampu membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk tempatan, khususnya dengan kedudukan kawasan itu yang berdekatan hutan simpan yang kaya dengan khazanah flora dan fauna serta perlu terus dipelihara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.