300 prospek sertai Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Zon Utara

Foto RTM

POKOK SENA, 10 Jun – Seramai 300 prospek dari utara tanah air yang bakal menamatkan hukuman penjara menyertai Karnival Kerjaya dan Keusahawanan MYFutureJobs Lindung Kerjaya “Tiada Yang Terpinggir” 2026 Zon Utara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anjuran PERKESO dan Jabatan Penjara Malaysia, disertai majikan pelbagai sektor, menekankan hak prospek mendapat peluang kedua.
  • Program menyediakan sesi temuduga terbuka, pertemuan terus dengan majikan dan khidmat nasihat kerjaya.
  • Fokus pemulihan dan reintegrasi sosial membantu prospek kembali menjadi anggota masyarakat produktif.
  • Testimoni prospek menonjolkan pemulihan harga diri, harapan pekerjaan dan perubahan ke arah kebaikan.

Karnival anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Jabatan Penjara Malaysia diadakan di Penjara Pokok Sena.

Ia disertai hampir 15 majikan pelbagai sektor yang membawa mesej bahawa setiap prospek berhak diberikan peluang kedua untuk membina masa depan yang lebih baik.

Ia juga merupakan manifestasi komitmen pelbagai pihak dalam memastikan golongan bekas prospek tidak terus berdepan stigma sosial yang menghalang mereka daripada memperoleh pekerjaan dan menjana pendapatan yang mampan.

Melalui karnival ini, prospek berpeluang untuk bertemu secara langsung dengan majikan daripada pelbagai sektor industri, menyertai sesi temuduga terbuka dan mendapatkan khidmat nasihat kerjaya.

Program ini memberi penekanan kepada pemulihan dan reintegrasi sosial yang berterusan bagi membantu prospek kembali berfungsi sebagai anggota masyarakat yang produktif.

Bagi Karim (bukan nama sebenar), karnival ini memberi peluang kepada mereka untuk mencari peluang pekerjaan dan tidak lagi dipandang rendah.

“Bagi kami bekas banduan, bila keluar kami tidak tahu mahu kerja apa. Bila ada program sebegini, bagusla untuk rasa ada jati diri balik dan rasa dihargai oleh masyarakat sekeliling,” katanya.

Manakala seorang lagi prospek, Abu (bukan nama sebenar) juga memuji program ini yang membuka peluang untuk golongan sepertinya berubah ke arah kebaikan.

“Terima kasih kepada pihak penjara juga sebab mengadkan program sebegini untuk kami. Saya minta orang luar jangan pandang rendah kepada kami yang ingin berubah kepada kebaikan. Saya ketika berada dalam penjara pandai memasak jadi selepas dibebaskan saya ingin menjadi tukang masak,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.