fb fb fb fb fb

APM Temerloh pantau setiap tiga jam paras air sungai utama

APM

TEMERLOH, 16 Oktober - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Temerloh melakukan pemantauan setiap tiga jam untuk melihat perkembangan terkini paras air sungai-sungai utama di daerah itu sepanjang musim banjir ini.

Pegawai APM Daerah Temerloh, Kapten Mohamad Irwan Mohamad berkata, pemantauan itu bagi membolehkan pihaknya mendapatkan maklumat terkini secara ‘real time’ sekali gus memudahkan penugasan anggota.

Beliau berkata, tumpuan lokasi pemantauan melibatkan jarak sepanjang 40 kilometer lembangan Sungai Semantan serta lokasi penempatan penduduk yang tinggal berhampiran.

"Pemantauan kita setiap hari bermula dari Kampung Sempadan Lanchang hingga ke Kampung Sungai Gau mengambil masa dua hingga tiga jam," katanya.

Setakat ini katanya, penugasan keseluruhan 50 anggota APM bagi daerah Temerloh mencukupi dengan 30 anggota bagi penugasan melibatkan banjir di daerah itu.

Manakala dari segi aspek logistik pula, APM Temerloh ketika ini mempunyai dua buah lori 5 tan dan 3 tan serta dua ambulans yang sedia digerakkan bila-bila masa terutama bagi operasi menyelamat dan perpindahan penduduk terjejas banjir. 

Setakat pukul 4.00 petang tadi, situasi banjir di daerah Temerloh yang berlaku sejak Ahad lalu telah menyebabkan seramai 1,649 penduduk dipindahkan ke sembilan pusat pemindahan sementara.

Trainee2