KUALA LUMPUR, 10 Mac- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memperkukuh kawalan sepanjang Ramadan dengan menambah waktu kerja syif bagi melaksanakan 73 penugasan omnipresence di kawasan hotspot seluruh negara.
Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed, memaklumkan bahawa kawasan tumpuan meliputi bazar Ramadan, lokasi berbuka puasa, pusat beli-belah, serta masjid dan surau.
"Kami menambah kepada empat syif bagi memastikan kehadiran anggota di lokasi yang sering dikunjungi ramai seperti pantai, pusat beli-belah, dan kawasan lapang berhampiran pusat komersial. Ketika ini, banyak insiden kemalangan kecil dilaporkan, dan kami bersedia untuk bertindak balas segera," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Peluncuran Bulan Pertahanan Awam dan perasmian 'Wacana Nasional: Struktur dan Hala Tuju Kesukarelawanan Malaysia' yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di Institut Semarak Felda, Kajang.
Sementara itu, Datuk Aminurrahim memaklumkan seramai 2,000 anggota APM ditugaskan di Sabah dan Sarawak bagi menjalankan operasi menyelamat serta membantu penduduk terjejas banjir.
Jelasnya, ketika ini, situasi banjir di kedua-dua negeri itu masih terkawal dengan kekuatan anggota sedia ada.