KUALA LUMPUR, 11 Disember- Semua pihak terlibat diseru untuk menekankan ekosistem dan landskap pelaburan negara supaya lebih kreatif dalam menawarkan ruang perindustrian dan perniagaan yang lebih mesra pelabur kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata mereka perlu meneruskan usaha dalam mempercepatkan proses pembangunan negara agar matlamat yang ditetapkan dapat dicapai.
"Saya juga turut menekankan tentang keperluan untuk melihat kepada pembangunan ekosistem yang lengkap dan bersesuaian dalam membangunkan Pusat Data bagi memastikan cadangan pembangunan pusat tersebut mempunyai nilai tambah dan berdaya saing," katanya dalam satu hantaran di facebook.
Anwar turut mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara ke-43 bagi Kerajaan Persekutuan berunding dengan kerajaan negeri berkaitan hal ehwal perancangan bandar dan desa serta pembangunan fizikal negara.
Dalam mesyuarat itu Anwar turut memberi penekanan kepada usaha mempercepat tempoh kelulusan pembangunan supaya dapat memangkinkan pelaburan dan memperbaiki tahap memudah cara perniagaan di Malaysia.
Menurut Anwar, "aspek kecekapan dan kecepatan dalam menguruskan kelulusan pembangunan merupakan perkara dilihat lebih penting oleh para pelabur berbanding insentif kewangan.
"Ia perlu diberi perhatian serius, terutama pihak berkuasa yang terlibat dalam usaha menarik dan memudah cara pelaburan ke dalam negara," katanya.
Pelabur juga dilihat lebih berminat dengan ketersediaan infrastruktur dan kepakaran modal insan yang membolehkan mereka untuk memulakan operasi dengan kadar segera mengikut kesesuaian pelaburan.
Anwar turut khuatir, "sekiranya Malaysia tidak berjaya dalam aspek ini, kemungkinan besar ini akan menyebabkan pelabur berpindah ke destinasi lain di kawasan serantau."
Dalam pada itu, Anwar turut mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) Tahun 2023.
Mesyuarat itu dihadiri oleh Menteri-Menteri Besar, Ketua-Ketua Menteri, Exco Perumahan Negeri, Menteri-Menteri Kabinet serta wakil agensi penyedia perumahan.
"MPMMN ini membincangkan dengan jelas isu-isu perumahan di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pemain industri dalam hal yang menyentuh soal nasib rakyat seperti pembinaan dan baik pulih perumahan," katanya.
Selain itu Anwar bersetuju dengan sasaran bagi penyediaan 500,000 unit rumah mampu milik (RMM) dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12).
"Saya memberi penekanan kepada usaha mempercepat tempoh kelulusan pembangunan supaya dapat memangkinkan pelaburan dan memperbaiki tahap memudah cara perniagaan di Malaysia bagi menarik dan memudah cara pemaju untuk menyediakan lebih banyak perumahan mampu milik."
Konsep Perumahan Inklusif MADANI akan dijadikan teras pembangunan perumahan mampu milik dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi pelbagai golongan sasar di ibu negara.
Kerajaan komited menjayakan agenda perumahan bagi membolehkan rakyat Malaysia memiliki kediaman selesa dan mendokong pembentukan masyarakat MADANI.