fb fb fb fb fb

Anthony selar syarikat lori 'degil', mahu terus bawa lebih muatan

Gambar fail Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

KUALA LUMPUR, 27 Oktober- Tiada rundingan terus bagi membenarkan amalan membawa lebih muatan dalam industri pengangkutan berat, tegas Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata demikian susulan rungutan beberapa persatuan pembinaan yang mendakwa perlu membuat lebih banyak perjalanan selepas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperketat tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan lebih muatan.

“Saya nak supaya rakyat selamat, pengguna jalan raya mesti selamat. Keuntungan bukan segala-galanya. Mungkin kos meningkat, tetapi adakah kos itu lebih penting daripada nyawa manusia? Jawapan saya, nyawa manusia lebih penting,” tegas beliau di Dewan Rakyat hari ini.

Anthony mendedahkan terdapat pemain industri yang cuba berunding supaya amalan membawa lebih muatan dapat diteruskan, namun beliau menolak sekeras-kerasnya cadangan itu.

“Saya agak terkilan dengan tindakan sebahagian pemain industri yang tahu mereka bersalah, tetapi masih mahu berunding.

"Ini mencabar autoriti kerajaan. Jadi saya kata forget about it. Tiada rundingan. Penguatkuasaan undang-undang akan tetap berjalan. Nyawa rakyat jauh lebih penting daripada keuntungan nilai ringgit," katanya.

Beliau menegaskan penguatkuasaan akan diteruskan, dan semua pemain industri perlu bertanggungjawab membasmi budaya membawa lebih muatan dalam operasi kenderaan berat.

“Menukar budaya dan pemikiran industri, rakyat dan kerajaan bukan mudah, tetapi kita mesti berusaha bersama mewujudkan budaya keselamatan jalan raya yang baharu demi keluarga dan orang tersayang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, yang meminta penjelasan kerajaan berhubung rungutan beberapa persatuan pembinaan berhubung tindakan tegas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap kenderaan berat membawa lebih muatan, yang didakwa menyebabkan peningkatan kos bahan dan memerlukan lebih banyak perjalanan untuk mengangkut barangan.

GRACE AISYAH KEDAYAN