fb fb fb fb fb

ANM sasar 500 agensi kerajaan guna sistem rekod digital

Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang (tengah) merasmikan Seminar Antarabangsa ‘Digital Records & Legal Admissibility 2024 di Putrajaya hari ini/Foto Facebook KPN

PUTRAJAYA, 10 Julai - Kementerian Perpaduan Negara (KPN) sedang merancang memperluaskan penggunaan Sistem Pengurusan Dokumen Digital (DDMS) 2.0 kepada 500 agensi kerajaan menjelang 2025.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata sistem pengurusan rekod elektronik yang canggih itu telah digunakan oleh 370 agensi kerajaan di seluruh negara.

"Sistem ini juga sebagai penanda aras baharu untuk kebolehpercayaan dan ketelusan dalam pngurusan rekod kerajaan.

“Sebanyak 12.3 juta rekod ditempatkan di dalam DDMS 2.0 yang memberi perkhidmatan kepada hampir 60,000 pengguna aktif (penjawat awam)," katanya.

Aaron berkata demikian ketika berucap pada Seminar Antarabangsa Rekod Digital dan Kebolehterimaan Undang-undang 2024 di sini, hari ini.

Seminar yang bermula dari 9 hingga 11 Julai itu bertujuan mengumpulkan peserta tempatan dan antarabangsa bagi membincangkan pelbagai aspek rekod digital dan kebolehterimaan undang-undang dalam kalangan mereka.

"Seminar ini bertujuan memberi tumpuan kepada kesan kemajuan teknologi terhadap arkib dan pengurusan rekod," katanya.

Antara topik utama termasuk perkongsian pengalaman mengenai isu mendesak, meneliti keselamatan digital rekod, strategi pemeliharaan digital, ketulenan dan integriti, undang-undang rangka kerja yang mengawal kebolehterimaan dalam prosiding mahkamah dan kesan daripada teknologi baru muncul.

Aaron berkata dengan pelaksanaan DDMS 2.0 mampu mengubah keseluruhan proses pengurusan rekod kepada satu proses pengurusan rekod fizikal diurus secara berpusat sekali gus tidak memerlukan salinan yang berlebihan.

“Selain itu, DDMS 2.0 membantu meningkatkan komunikasi dengan membenarkan sebarang rekod digital diarahkan serta-merta dalam organisasi bersama-sama minit mesyuarat dan arahan kepada penerima masing-masing,” katanya.

Aaron berkata : Arkib Negara Malaysia (ANM) berada di barisan hadapan dalam pemeliharaan penyimpanan pelbagai rekod sama ada rasmi atau peribadi dan secara berkesan beralih ke era digital.

Beliau berkata nilai arkib bukan sahaja penting dalam memelihara warisan budaya tetapi juga memastikan kesahihan rekod digital.

"Kira-kira 80 peratus daripada inisiatif arkib negara sepanjang dekad lepas menumpukan kepada pendigitalan dan pemeliharaan rekod elektronik, mencerminkan komitmen teguh kami untuk kekal di hadapan," katanya.

 

GRACE AISYAH KEDAYAN