Ancaman Ebola Bundibugyo: KKM tingkat kesiapsiagaan tahap optimum di Pintu Masuk Antarabangsa

Petugas kesihatan membendung wabak Ebola yang merebak pantas di Congo/Foto Reuters

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Kementerian Kesihatan (KKM) mempertingkatkan kesiapsiagaan dan pemantauan di seluruh negara susulan pengisytiharan Penyakit Ebola daripada virus Bundibugyo sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (PHEIC) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Keputusan WHO pada 17 Mei itu dibuat berikutan penularan wabak berkenaan di Republik Demokratik Congo (DRC) dan Uganda yang setakat ini telah mencatatkan kes jangkitan serta kematian.

RINGKASAN BERITA AI
  • KKM tingkatkan kesiapsiagaan nasional dan pemantauan, walaupun tiada kes Ebola dilaporkan di Malaysia.
  • Pemantauan dan saringan diperkukuh di semua Pintu Masuk Antarabangsa bagi penilaian risiko dan pencegahan awal.
  • KKM perkasakan pengesanan awal, pengasingan pesakit, bekalan PPE, kapasiti makmal serta koordinasi dengan agensi berkaitan.

KKM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa setakat ini tiada sebarang kes Ebola dilaporkan di Malaysia, namun langkah proaktif perlu diambil segera bagi menghadapi risiko kemasukan kes import.

“Mengambil kira risiko importasi kes melalui perjalanan antarabangsa, KKM terus memperkukuh langkah kesiapsiagaan dan pemantauan bagi memastikan negara sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,” menurut kenyataan itu.

Langkah pengawasan kini ditumpukan kepada pengembara yang memasuki Malaysia dari Uganda dan DRC, termasuk mereka yang menggunakan penerbangan transit di hab antarabangsa seperti Dubai, Doha dan Singapura, memandangkan tiada penerbangan terus dari kedua-dua negara terbabit ke Malaysia.

Pemantauan dan saringan di semua Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) turut diperkukuh bagi tujuan penilaian risiko kesihatan awam serta pelaksanaan langkah pencegahan awal.

Ebola merupakan penyakit berjangkit serius yang boleh membawa maut melalui kontak rapat dengan darah atau cecair badan individu mahupun haiwan yang dijangkiti.

Antara gejala utama termasuk demam, sakit kepala, sakit otot, keletihan, muntah, cirit-birit dan dalam sesetengah kes, pendarahan.

Bagi memastikan negara berada pada tahap kesiapsiagaan optimum, KKM telah menggariskan enam langkah strategik utama termasuk mempertingkatkan pengesanan awal kes, memperkukuh kesiapsiagaan fasiliti kesihatan bagi pengasingan kes disyaki, serta memastikan bekalan alat perlindungan diri (PPE) sentiasa mencukupi.

Selain itu, kapasiti diagnostik makmal turut diperkasa menerusi kerjasama Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK), di samping memperkukuh koordinasi bersama WHO serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

Sebagai langkah berjaga-jaga, KKM menasihati orang ramai khususnya individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan terjejas supaya segera mendapatkan rawatan sekiranya tidak sihat.

“Individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara terlibat dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala seperti demam, sakit badan, muntah atau pendarahan dalam tempoh 21 hari selepas pulang dari negara berkenaan,” kata KKM.

Kementerian turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi KKM dan WHO serta tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

KKM memberi jaminan akan terus menjalankan pemantauan risiko dan penilaian situasi semasa secara berterusan demi melindungi kesihatan awam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.