KUALA PILAH, 28 April – Kerajaan Negeri Sembilan komited memperkasakan pendidikan anak-anak Orang Asli di negeri ini supaya mereka mampu mencipta kejayaan luar biasa dan setanding dengan pelajar dari komuniti lain.
Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, usaha berterusan itu telah membuahkan hasil apabila semakin ramai pelajar Orang Asli berjaya melakar pencapaian membanggakan dalam bidang akademik.
“Dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini, dua pelajar Orang Asli di Kampung Chergun memperoleh keputusan 5A, manakala seorang lagi mencatat keputusan 4A. Ini satu kejayaan yang wajar diraikan,” katanya ketika berucap merasmikan Balai Raya dan menghadiri Majlis Ramah Mesra Aidilfitri di Kampung Orang Asli Chergun, di sini pada Ahad.
Menurut Jalaluddin, kerajaan negeri sentiasa menekankan kepada kepimpinan negeri agar mengangkat martabat masyarakat Orang Asli ke tahap tertinggi.
“Saya percaya anak-anak Orang Asli mempunyai potensi besar untuk mencapai kejayaan luar biasa seperti anak-anak dari kampung tradisi. Malah, kini ada anak Orang Asli yang berjaya ke menara gading, meraih ijazah kelas pertama, kelas kedua, dan ada juga yang mencapai tahap doktor falsafah (PhD),” katanya.