
KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan penggunaan bahasa kesat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu premis perjudian sebagai penghinaan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan dan kemuliaan Perlembagaan Persekutuan.
Naib Ketua AMK merangkap Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari dalam kenyataan menegaskan, isu berkenaan bukan soal sama ada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu atau tidak meluluskan perjudian.
Perkara itu sebaliknya membabitkan pematuhan kepada undang-undang serta bidang kuasa Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
“Pendirian menolak perjudian sememangnya difahami dan dihormati khususnya dalam kalangan umat Islam, namun usaha membendung amalan itu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mencaci atau menyerang institusi negara.
“AMK amat kesal dengan laras bahasa kesat seperti ‘celaka’ dan ‘pelaq’ yang digunakan oleh Menteri Besar Kedah berhubung isu premis perjudian,” menurut kenyataan itu hari ini.
Dr Mohammed Taufiq yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung sempadan bidang kuasa antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan perlu dihormati dan isu perundangan tidak wajar dijadikan modal politik murahan untuk menunggang sentimen serta emosi rakyat.
Sehubungan itu, AMK menggesa Datuk Seri Muhammad Sanusi mendapatkan pandangan Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah bagi meneliti semula isu bidang kuasa dan perundangan berkaitan melalui saluran yang sah.
“AMK turut menggesa pemimpin negeri menunjukkan teladan kepimpinan yang lebih berhemah dengan menolak budaya politik maki hamun serta mengutamakan perbahasan berasaskan fakta, dasar dan lunas undang-undang.
“Mengkritik dan menjadi semak dan imbang adalah tugas pembangkang, namun ia wajib dilakukan berlandaskan fakta dan kewarasan akal, bukannya melalui caci maki yang menghina keputusan institusi mahkamah tertinggi dan Perlembagaan negara,” tambah kenyataan itu.
Sebelum ini, Datuk Seri Muhammad Sanusi didakwa menggunakan laras bahasa kesat semasa program Penjelasan Isu Halangan Pengharaman Judi Di Kedah di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar pada Selasa lepas, yang dianjurkan bagi menjelaskan situasi selepas keputusan mahkamah berhubung isu itu.