
KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Mayat lelaki tanpa identiti ditemukan dalam ruang simpanan tayar sebuah pesawat di kawasan parkir pesawat, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, pagi tadi.
- Mayat ditemui tanpa dokumen pengenalan; keadaan meniarap dan mayat mereput; anggaran umur 17 hingga 25 tahun.
- Mangsa memakai hoodie putih bergambar naga, seluar jeans biru muda, tali pinggang coklat, stokin dan kasut sukan hitam.
- Tiada kecederaan dikesan; mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat; kes disiasat mengikut prosedur SDR.
- Orang ramai diminta elak spekulasi dan berita palsu; hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA di talian 03-8776 8222 jika ada maklumat.
Ketua Polis Daerah KLIA, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Ravi Munusamy berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan itu kira-kira pukul 7 pagi daripada Pusat Kawalan Operasi Lapangan (AOCC).
“Pemeriksaan mendapati mangsa ditemukan dalam keadaan meniarap dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.
“Pemeriksaan awal turut mendapati keadaan mayat telah mereput, dengan anggaran umur mangsa antara 17 hingga 25 tahun berdasarkan saiz fizikal,” menurut kenyataan itu.
Mangsa dipercayai memakai hoodie berwarna putih dengan gambar naga di bahagian belakang berserta tulisan di bahagian hadapan, selain seluar jeans biru muda, tali pinggang kulit berwarna coklat, stokin dan kasut sukan berwarna hitam.
Polis turut memaklumkan tiada sebarang kecederaan dikesan pada tubuh mangsa. Mayat kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat. Kes kini disiasat mengikut prosedur kematian mengejut atau SDR.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian dan mengelakkan penyebaran berita tidak benar.
Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA di talian 03-8776 8222.