
KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Kerajaan MADANI tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen atau permit perjudian baharu, mahupun menambah bilangan kedai perjudian baharu.
- MOF: jumlah lesen dan permit kekal berdasarkan kelulusan sedia ada sejak 1990-an.
- Kenyataan Menteri Besar Kedah mengenai lesen judi memberi gambaran yang mengelirukan.
- MOF menetapkan syarat ketat, mengehadkan perjudian berlesen dan memperhebat tindakan terhadap judi tanpa lesen serta perjudian dalam talian.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan, jumlah lesen dan permit perjudian yang berkuat kuasa ketika ini kekal berdasarkan jumlah kelulusan lesen sedia ada sejak 1990-an.
Sehubungan itu, kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkaitan isu lesen judi di Kedah yang dilaporkan media baru-baru ini, jelas mengelirukan.
“Ia memberi gambaran seolah-olah Kerajaan MADANI tidak mengawal aktiviti perjudian atau telah meluluskan lesen baharu bagi menambah bilangan premis perjudian di negeri tersebut.
“Sebagai langkah kawalan, MOF telah menetapkan syarat-syarat yang ketat kepada pemegang lesen,” menurut kenyataan itu hari ini.
Pendekatan tegas dan bertanggungjawab turut diambil dengan mengehadkan aktiviti perjudian berlesen, memastikan kawal selia yang ketat serta memperhebat tindakan terhadap perjudian tanpa lesen dan perjudian dalam talian.
Menurut kementerian itu juga, sepanjang tempoh pentadbiran Kerajaan Persekutuan pada 2020 hingga 2022 yang turut merangkumi parti PAS, tidak pernah ada sebarang usul atau keputusan untuk mengharamkan aktiviti perjudian berlesen di seluruh negara atau memansuhkan lesen sedia ada.
Berdasarkan rekod, Kerajaan Persekutuan bawah Pakatan Harapan pada 2020 telah memutuskan untuk menurunkan bilangan cabutan khas daripada 22 kepada lapan sahaja setahun.
Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan bawah Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) pada 2020 telah memutuskan untuk meningkatkan atau mengembalikan semula kekerapan cabutan khas 22 kali setahun.
”Selepas Kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran Persekutuan pada akhir 2022, keputusan terawal waktu itu adalah untuk membatalkan peningkatan tersebut dan menurunkan semula
kekerapan cabutan khas daripada 22 kepada lapan kali setahun mulai Januari 2023,” tambah kenyataan itu.