
KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah mengecam kenyataan biadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu lesen premis perjudian di negeri itu.
- Keputusan pentadbiran Sanusi dibatalkan mahkamah; permohonan rayuan ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.
- Kes ini menyerlahkan pemisahan kuasa antara badan perundangan, eksekutif dan kehakiman; tindakan pentadbiran dicabar dan diputuskan kehakiman.
- Sanusi dituduh bermuka muka, mengalihkan kesalahan dan mengheret pihak tidak bersalah untuk tutup kelemahan sendiri.
- Sanusi dilaporkan menggunakan laras bahasa kesat semasa program penjelasan isu judi kepada awam.
Pengarah Komunikasi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Kedah, Tunku Nashrul Abaidah dalam kenyataan menegaskan, Datuk Seri Muhammad Sanusi selaku Menteri Besar Kedah yang menerajui keputusan tersebut telah kalah dalam tindakan undang-undang berkenaan.
“Tindakan pentadbiran pimpinannya (Sanusi) dibatalkan selepas mahkamah mendapati ia melangkaui bidang kuasa negeri, manakala permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu turut ditolak Mahkamah Persekutuan.
“Malaysia mengamalkan pemisahan kuasa antara tiga cabang utama iaitu badan perundangan, eksekutif dan kehakiman.
“Kes ini berpunca daripada keputusan pentadbiran Sanusi, dicabar oleh pihak pengendali dan diputuskan secara bebas badan kehakiman.
“Sanusi usah baling batu sembunyi tangan. Sikap bermuka-muka dan berpura-pura suci dalam isu ini jelas mencerminkan kemunafikan politik,” menurut kenyataan itu.
Ketika PAS berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), pentadbiran yang disertai parti itu meningkatkan cabutan khas judi daripada lapan kepada 22 kali setahun.
“Sebaliknya, Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang dihamun Datuk Seri Sanusi, menurunkannya kembali kepada lapan kali setahun.
“Tindakan paling celaka adalah mengelirukan rakyat, memaki Datuk Seri Anwar dan mengheret pihak yang tiada kena-mengena semata-mata untuk menutup kelemahan sendiri.
“Sanusi, usah alih tiang gol, sila jawab kekalahan pentadbiran sendiri secara berfakta dan berhenti menjadikan Perdana Menteri sebagai sasaran,” tambah kenyataan itu.
Sebelum ini, Datuk Seri Muhammad Sanusi didakwa menggunakan laras bahasa kesat semasa program Penjelasan Isu Halangan Pengharaman Judi Di Kedah di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar pada Selasa lalu, yang dianjurkan bagi menjelaskan situasi selepas keputusan mahkamah berhubung isu itu.