fb fb fb fb fb

Akta PSB perlu jelas, hak dan kebajikan penduduk jadi keutamaan

Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ketua Pasukan Khas UMNO bagi penambahbaikan Rang Undang-Undang (RUU) PSB, Datuk Seri Johari Abdul Ghani/BERNAMA

PULAU CAREY, 5 September- Kebajikan penduduk perlu menjadi keutamaan sebelum pelaksanaan projek pembangunan semula menerusi Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB).

Menteri Perladangan dan Komoditi, yang juga Ketua Pasukan Khas UMNO bagi penambahbaikan Rang Undang-Undang (RUU) PSB, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata ia termasuk aspek penempatan sementara dan hak pemilik asal.

Tegasnya, perancangan mesti dilaksana secara teliti dan bersifat menyeluruh, selain syarat berkaitan perlu dimaklumkan secara jelas kepada pihak terlibat.

“Kalau akta ini tidak merangkumi semua perkara atau kurang ketelusan, ia akan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap akta tersebut. Kerajaan mahu memastikan tidak timbul sebarang masalah apabila berlaku pembangunan semula.

Jika ada masalah, kerajaan tidak boleh lepas tangan. Kalau kita lepas tangan, akhirnya akan jadi seperti kes Flat Tun Razak atau Sungai Baru, di mana penduduk terpaksa menunggu sehingga lapan tahun tanpa kepastian tentang rumah mereka. Jadi, isu ini perlu kita beri perhatian serius," kata Datuk Seri Johari, hari ini.

Beliau ditemui pemberita selepas mengiringi Pesuruhjaya Alam Sekitar, Ketahanan Air dan Daya Saing Ekonomi kitaran, Jessika Rosswall, melawat Kampung Sungai Judah serta Pusat Kecemerlangan Sawit SD Guthrie di Pulau Carey.

Mengulas lanjut, faktor ketiadaan pihak berwajib mengawal selia proses pembangunan semula sebelum ini, antara punca projek tergendala.

Kesannya, kerajaan terpaksa mengambil alih tanggungjawab tersebut.

Setakat ini, sebanyak 139 lokasi di ibu negara telah dikenal pasti untuk tujuan itu.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM