KUALA LUMPUR, 11 September – Transformasi melalui penguasaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) diyakini mampu membuka pelbagai peluang kerjaya berkemahiran tinggi selari dengan permintaan masa depan.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata penggiat industri perlu mempersiapkan diri menghadapi masa depan digital berpacukan AI, di samping memanfaatkan sepenuhnya kelebihan teknologi tersebut bagi menangani cabaran dan merebut peluang dalam persekitaran global yang berubah pantas.
“Sehingga akhir tahun lalu, Malaysia telah membelanjakan lebih RM77 bilion bagi usaha pendigitalan. Dalam tempoh dua tahun, kita juga berjaya menarik pelaburan besar, khususnya daripada syarikat teknologi global terkemuka dunia.
“Kecerdasan buatan (AI) bukanlah sesuatu yang terhad kepada sesebuah negara kerana sifatnya yang global. AI mampu menggantikan pekerjaan manusia walaupun ia tidak beroperasi secara fizikal. Maka, kita bukan sahaja perlu membangunkan kerangka dasar di peringkat domestik dan nasional, tetapi juga perlu mewujudkan kerangka global yang lebih menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan ‘OCBC Grow Your Way Festival 2025’ di Menara OCBC, di sini, hari ini.
Pada masa sama, OCBC Bank (Malaysia) Berhad turut memperuntukkan lebih RM10 juta setahun bagi memantapkan program pembangunan insan, dengan memberi tumpuan terhadap kecerdasan buatan (AI), peningkatan kemahiran serta penguasaan teknologi baharu.
Menurut Sim, langkah tersebut sejajar dengan agenda transformasi tenaga kerja yang digariskan kerajaan bagi mempersiapkan negara menghadapi era digital berpacukan AI.
Tambah beliau, Malaysia perlu menerima sepenuhnya kemajuan AI, merebut peluang yang muncul serta meneroka laluan pembelajaran agar tenaga kerja tempatan berupaya menyesuaikan diri dengan keperluan masa depan.