Agong berkenan solat Jumaat pertama di Masjid Zuhri, Pulau Aur

Gambar Masjid Zuhri di Pulau Aur yang dipersembahkan kepada Sultan Ibrahim hari ini/Foto Facebook Sultan Ibrahim

JOHOR BAHRU, 22 September — Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan penduduk setempat menunaikan solat Jumaat pertama di Masjid Zuhri, Pulau Aur, yang kini siap sepenuhnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Masjid Zuhri mampu menampung hampir 200 jemaah.
  • Dibina semula kerana struktur lama uzur dan kebocoran pada bahagian bumbung.
  • Pembinaan dilaksanakan TETO Engineering Sdn Bhd menerusi wakaf bagi keselesaan ibadah penduduk Pulau Aur.
  • Sultan Ibrahim menerima menghadap Mufti Johor dan pegawai Majlis Agama Islam Negeri Johor; Datuk Yahya mempersembahkan hal ehwal agama.

Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda bertitah masjid baharu itu mampu menampung hampir 200 jemaah.

Masjid berkenaan dibina semula selepas struktur bangunan lama uzur akibat faktor usia selain mengalami masalah kebocoran pada bahagian bumbung.

Pembinaan semula masjid itu dilaksanakan oleh TETO Engineering Sdn Bhd menerusi wakaf bagi menyediakan tempat ibadah yang lebih selesa dan sempurna kepada penduduk Pulau Aur serta kawasan sekitarnya.

Kedudukan Pulau Aur yang terpencil sebelum ini menyukarkan penduduk tempatan melaksanakan kerja baik pulih masjid lama berkenaan.

Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Mufti Johor, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Johor, dan Pengerusi TETO Engineering Sdn Bhd/Foto Facebook Sultan Ibrahim

Dalam perkembangan sama, Sultan Ibrahim turut berkenan menerima menghadap Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad, di Istana Pasir Pelangi, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Mohd Radzi Mohd Amin dan Pengerusi TETO Engineering Sdn Bhd, Datuk Mohd Zuhri Abdullah.

Dalam sesi menghadap itu, Datuk Yahya turut mempersembahkan perkara berkaitan hal ehwal agama Islam di Johor kepada Seri Paduka Baginda.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.