fb fb fb fb fb

Agenda Ekonomi MADANI tetap sasaran tingkat pelaburan R&D Malaysia

Pelancaran MIMOS Technology Preview 2024: Exploring Frontiers of Innovation di Putrajaya

PUTRAJAYA, 29 April- Pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) Malaysia dilihat masih ketinggalan berbanding negara maju seperti Korea Selatan, Jepun dan Singapura, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Justeru, agenda Ekonomi MADANI menetapkan sasaran untuk negara mencapai Perbelanjaan Kasar untuk Penyelidikan dan Pembangunan (GERD) sebanyak 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030 bagi merapatkan jurang itu.

Jelas beliau, peningkatan pelaburan dalam sektor berkenaan bakal mendorong produktiviti yang tinggi dan mencipta peluang pekerjaan selain memacu pembangunan ekonomi stabil untuk jangka masa panjang. 

"Usaha yang dilakukan kerajaan ini kita menyasarkan pada 2030 ia akan mencapai 3.5 peratus. Usaha yang dilakukan kerajaan masih melihat berkenaan sains dengan geran lebih sepadan.

"Dengan meningkatkan pelaburan dalam R&D, Malaysia berhasrat untuk menaik taraf kedudukan negara setanding dengan negara-negara maju yang telah berjaya menggunakan R&D untuk meningkatkan daya saing," katanya dalam sidang media selepas pelancaran MIMOS Technology Preview 2024: Exploring Frontiers of Innovation di sini.

Beliau turut menambah, Mimos sebagai agensi R&D utama negara juga dalam usaha melaksanakan inisiatif strategik. 

Ia termasuk bekerjasama dengan pemain industri untuk membangun dan menggunakan teknologi baharu yang memenuhi permintaan tenaga global.

Jelasnya, Mimos turut menyasarkan untuk mengkomersialkan sebanyak 20 projek R&D menjelang akhir 2025.

Pada majlis itu, Mimos menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan AXICOM dan iSCADA NET serta Perjanjian Lesen Teknologi (TLA) dengan SquareCloud bagi mengimplementasikan teknologi sistem MIMOS Autonomous Chiller Control & Energy Efficiency (Mi-ACE) di bangunan kerajaan dan perniagaan.

Sistem itu dibangunkan bersama Square Cloud memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan IoT tanpa wayar (wireless IoT) untuk merevolusikan sistem penyejuk bangunan yang merangkumi pejabat hingga ruang awam.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI