KUALA LUMPUR, 4 Ogos- Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF) 2025 bakal menjadi platform penting dalam memperkukuh dan mempercepat transformasi tenaga di rantau ASEAN.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini memainkan beberapa peranan utama dalam memacu agenda tenaga serantau.
Ini termasuk merangka Pelan Tindakan ASEAN untuk Kerjasama Tenaga (APAEC) 2026-2035 serta pelaksanaan Grid Tenaga ASEAN (APG).
Justeru, beliau berkata AEBF 2025 merupakan antara pendekatan utama bagi menghimpunkan semua pihak ke arah menjayakan inisiatif tersebut.
"Inilah sebab utama mengapa AEBF 2025 memainkan peranan yang begitu penting, ia menjadi platform khusus untuk merangsang dialog dan kerjasama yang kritikal ini. Kita perlukan kerjasama aktif daripada pengawal selia, pembekal utiliti, penyedia teknologi, pelabur dan penyelidik.
Semua pihak perlu berganding bahu untuk atasi cabaran seperti penyelarasan peraturan, pembiayaan projek, dan keserasian teknikal," kata Datuk Seri Fadillah ketika berucap semasa Majlis Pelancaran Awal AEBF 2025.
Forum tersebut dijadual berlangsung dari 15 hingga 17 Oktober depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Forum tersebut akan menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin sektor swasta, penyelidik, pelabur serta rakan pembangunan dari seluruh rantau ASEAN dan antarabangsa.
Antara pengisian utama termasuk dialog polisi, meja bulat peringkat tinggi, dan sesi jaringan perniagaan.
Turut diadakan ialah pameran teknologi terkini serta peluang pelaburan dalam bidang tenaga bersih, pemodenan grid, kecekapan tenaga, hidrogen hijau dan pasaran karbon.