fb fb fb fb fb

ADUN Lobak, Chew Seh Yong dilantik sebagai exco negeri

Foto Laman Web DAP

SEREMBAN, 8 Februari- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak di Negeri Sembilan, Chew Seh Yong dinamakan sebagai pengganti jawatan Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam yang kosong susulan peletakan jawatan oleh ADUN Nilai, J. Arul Kumar sebelum ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pelantikan tersebut telah mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan persetujuan daripada Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook.

"Saya telah mendapat persetujuan daripada Yang Berhormat (YB) Loke Siew Fook selaku Pengerusi DAP dan Setiausaha Agung DAP Malaysia untuk melantik saudara YB Chew Seh Yong iaitu ADUN Lobak sebagai pengganti.

Insya-Allah upacara angkat sumpah akan diadakan pada hari Jumaat ini di Istana Besar Seri Menanti dan telah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku," kata Aminuddin kepada pemberita RTM pada sidang media pasca mesyuarat exco di Seremban.


(Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun/BERNAMA)

Upacara mengangkat sumpah dijadualkan pada hari Jumaat, pukul 3.00 petang bertempat di Istana Besar Seri Menanti.

Terdahulu, Exco Sumber Manusia, Perladangan Dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan, J. Arul Kumar meletakkan jawatan selepas dilantik sebagai Setiausaha Politik Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Media Baharu