fb fb fb fb fb

Abiy dan delegasi pulang ke Ethiopia selepas dua hari lawatan

Perdana Menteri Ethiopia, Dr. Abiy Ahmed Ali dan isteri, Zinash Tayachew Bere menaiki pesawat Ethiopian Airlines

SEPANG, 26 Oktober- Perdana Menteri Ethiopia, Dr. Abiy Ahmed Ali dan isteri, Zinash Tayachew Bere berangkat pulang selepas menamatkan lawatan dua hari di Malaysia.

Pesawat Ethiopian Airlines membawa mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 5.15 petang, hari ini.

Dalam lawatan sulungnya ke Malaysia selepas memegang jawatan, Abiy menghadiri mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan hubungan dua hala dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Hasil pertemuan itu kedua-dua pemimpin bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang utama termasuk pertanian, perindustrian, perlombongan, perdagangan dan pelaburan.

Selain itu beliau juga mahu belajar dari Malaysia cara memodenkan bandar dan membina infrastruktur.

Semalam, Abiy berpeluang melawat kemudahan pembuatan pengeluar kereta nasional Proton di Tanjung Malim, Perak.

Dalam pada itu beliau turut mengucapkan terima kasih atas layanan Malaysia yang menyambut dan menyediakan kemudahan sepanjang kunjungan beliau ke negara ini.

Ethiopia merupakan rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia di benua Afrika pada 2023.

Perdagangan kedua-dua negara mencecah RM446.8 juta dengan eksport Malaysia ke Ethiopia bernilai RM358.6 juta.

Ia menunjukkan peningkatan kira-kira 24.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Eksport Malaysia ke Ethiopia termasuk produk elektrik dan elektronik; minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit; bahan kimia dan produk berasaskan kimia; serta tekstil, pakaian, dan kasut.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI