fb fb fb fb fb

Ops Khas: 700 kenderaan disita JPJ Melaka

Sekatan jalan raya menerusi Ops Khas JPJ Melaka

BANDARAYA MELAKA, 8 Disember- Sebanyak 700 buah kenderaan disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka sepanjang pelaksanaan tiga fasa Ops Khas pada Januari hingga November lalu.

Pengarahnya, Muhammad Firdaus Sharif berkata, 265 daripadanya adalah kenderaan yang disita dalam Operasi Pemandu Warga Asing (PeWA).

Pemandu yang dikenal pasti adalah warga Indonesia, India, Bangladesh, Pakistan dan Rohingya.

"(Ia melibatkan) 236 motosikal, 23 motokar dan enam kenderaan perkhidmatan barangan (KPB).

"Antara kesalahan, tiada lesen CDL (Lesen Memandu Kompeten) dan tiada lesen GDL (Lesen Vokasional), LKM (Lesen Kenderaan Motor) tamat tempoh, tiada insurans serta salah guna LKM," katanya kepada pemberita selepas Ops Patuh Bersepadu di Lebuh AMJ Malim.

Selain itu, sebanyak 1,735 kenderaan dikesan lebih muatan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 sepanjang tempoh sama.

Muhammad Firdaus berkata, sejumlah 385 buah kenderaan diperiksa dengan 134 kenderaan diambil tindakan dan 150 kenderaan diberikan notis atas pelbagai kesalahan termasuk dua kenderaan disita.

Operasi turut disertai oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka.

SITI AISHAH BINTI MD ISA