554 keluarga mangsa ribut di Bercham terima wang bantuan ihsan RM1 juta

Nga Kor Ming ketika ditemui media pada Program Pemberian Wang Ehsan Bencana Ribut Bercham di Prestige Hall @ YICC hari ini/ Bernama

IPOH, 12 Julai- Sebanyak 554 keluarga yang terjejas akibat bencana ribut di Bercham pada 19 Jun lepas menerima bantuan wang ihsan berjumlah RM1 juta hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Nga Kor Ming menyampaikan wang bantuan RM1,800 kepada setiap keluarga terjejas.
  • Donasi Genting Malaysia dan Genting Bersama menambah bantuan kerajaan RM1,000 serta RM300 daripada pejabat penghulu.
  • Nga Kor Ming akui peruntukan terhad namun berjanji tampil membantu komuniti Bercham.
  • Ribut menyebabkan lebih 500 kediaman di lima kawasan perumahan rosak selepas hujan lebat dan angin kencang hampir dua jam.

Wang bantuan sebanyak RM1,800 bagi setiap keluarga itu disampaikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming dalam satu majlis di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bercham Ong Boon Piow.

Nga dalam ucapannya berkata bantuan daripada syarikat Genting Malaysia dan Genting Bersama Malaysia itu adalah tambahan kepada bantuan yang disalurkan kerajaan bernilai RM1,000 dan RM300 daripada pejabat penghulu kepada setiap keluarga sebelum ini.

“Kami tahu ia tidak mencukupi tetapi peruntukan dana memang terhad.

“Sebab itu, walaupun saya bekerja di Putrajaya hati tetap dekat di Bercham. Apabila Bercham memerlukan bantuan, kami akan tampil ke hadapan. Sebab itu kami cari jalan bagaimana hendak membantu,” katanya.

Dalam kejadian pada 19 Jun lepas, lebih 500 kediaman di lima kawasan perumahan di sekitar Bercham terjejas susulan hujan lebat berterusan dan angin kencang selama hampir dua jam. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.