ASEAN kekal pertahankan Konsensus Lima Perkara, gesa pelaksanaan di Myanmar

Menteri-menteri Luar ASEAN bergambar bersama pada mesyuarat tidak rasmi di Bangkok, Thailand/Foto REUTERS

BANGKOK, 13 Julai – ASEAN menegaskan Konsensus Lima Perkara (5PC) sebagai rangka kerja utamanya dalam menangani situasi di Myanmar, dengan tumpuan baharu diberikan terhadap bantuan kemanusiaan, mengurangkan keganasan dan menggalakkan dialog politik yang inklusif.

RINGKASAN BERITA AI
  • Konsensus Lima Perkara kekal asas penglibatan ASEAN dengan semua pihak, tegas Utusan Khas Maria Theresa Lazaro.
  • ASEAN menggesa pengembangan bantuan kemanusiaan termasuk misi Pengerusi bagi meningkatkan penyampaian bantuan.
  • Blok serantau menuntut pengurangan keganasan terhadap orang awam dan dialog politik lebih inklusif.
  • Pelaksanaan 5PC akan dinilai pada Sidang Kemuncak lewat tahun ini; penglibatan memerlukan usaha timbal balik Naypyidaw.

Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Maria Theresa Lazaro, yang juga Utusan Khas Pengerusi ASEAN ke Myanmar berkata, 5PC kekal menjadi asas kepada penglibatan ASEAN dengan semua pihak berkepentingan, termasuk Kerajaan Myanmar.

“Sebagai Utusan Khas Pengerusi ke Myanmar, ia sentiasa menjadi dokumen asas, selain perbincangan, adalah Konsensus Lima Perkara. Pihak berkepentingan serta Kerajaan Myanmar, kami sentiasa menggunakannya.

Sama ada mereka menolaknya atau tidak, kami tetap mempertahankan, saya tetap mempertahankan, dan saya percaya ASEAN berdiri teguh di belakang Konsensus Lima Perkara itu,” katanya kepada pemberita pada sidang media bersama Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow, pada Ahad.

Diterima pakai pada April 2021, 5PC menuntut penamatan segera keganasan, dialog inklusif antara semua pihak, bantuan kemanusiaan, serta pengantaraan oleh Utusan Khas ASEAN dengan membabitkan semua pihak berkepentingan di Myanmar. Minggu lepas, Parlimen Myanmar meluluskan usul menolak pelan damai berkenaan.

Bercakap selepas Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri Luar ASEAN bersama Menteri Luar Myanmar dan Rundingan Tidak Rasmi Lanjutan mengenai Myanmar, Lazaro berkata ASEAN telah menyampaikan tiga perkara utama yang diharapkan kepada Myanmar.

Pertama, beliau berkata blok serantau itu berhasrat untuk memperluas bantuan kemanusiaan, termasuk menerusi misi kemanusiaan yang dirancang oleh Pengerusi ASEAN bagi meneroka kaedah meningkatkan penyampaian bantuan.

Kedua, ASEAN menggesa pengurangan dalam tindakan keganasan, terutamanya terhadap orang awam, katanya.

Ketiga, ia menuntut dialog politik yang lebih inklusif bagi memajukan perdamaian nasional, termasuk mewujudkan persekitaran politik yang kondusif serta memastikan pembebasan tahanan politik, kata beliau.

Lazaro menyifatkan mesyuarat itu sebagai langkah penting ke hadapan, sambil menyatakan bahawa ia merupakan pertemuan secara bersemuka yang pertama antara Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Menteri Luar Myanmar sejak krisis politik bermula pada 2021.

Sementara itu, Sihasak, yang kerajaannya menjadi tuan rumah mesyuarat berkenaan berkata, Thailand menyokong dasar penglibatan terukur ASEAN dengan Myanmar, sambil menegaskan ia memerlukan usaha timbal balik daripada Naypyidaw.

“Penglibatan terukur ini adalah jalan dua hala. Pihak Myanmar juga perlu mendekati kami dan menangani kebimbangan ASEAN serta komuniti antarabangsa.

Kami semua menegaskan komitmen terhadap Konsensus Lima Perkara, namun isu utamanya ialah strategi untuk melaksanakannya,” kata beliau.

Ditanya sama ada Myanmar diberikan tempoh masa untuk menangani kebimbangan ASEAN, Sihasak berkata blok serantau itu akan menilai kemajuan yang dicapai pada Sidang Kemuncak ASEAN lewat tahun ini.

Terdahulu, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Filipina selaku Pengerusi ASEAN ketika ini dihadiri oleh semua menteri luar negara anggota ASEAN, kecuali Kemboja yang tidak diwakili, manakala Malaysia diwakili oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar Tan Sri Amran Mohamed Zin. – BERNAMA