Myanmar maklumkan ASEAN Aung San Suu Kyi berada dalam keadaan sihat

Aung San Suu Kyi ketika menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 di Manila pada 2017/Gambar fail REUTERS

BANGKOK, 13 Julai – Myanmar memberi jaminan kepada ASEAN bahawa bekas pemimpinnya yang ditahan, Aung San Suu Kyi, berada dalam keadaan sihat dan akan dijaga dengan baik, kata Utusan Khas ASEAN ke Myanmar yang juga Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Maria Theresa Lazaro.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mesyuarat tidak rasmi antara Menteri Luar Myanmar U Tin Maung Swe dan menteri-menteri luar ASEAN diadakan di Bangkok.
  • Kedudukan sebenar Aung San Suu Kyi masih tidak diketahui, namun beliau dipindahkan ke satu lokasi yang ditetapkan.
  • Maria Theresa Lazaro memohon pertemuan dengan Aung San Suu Kyi awal bulan ini, tetapi Myanmar menolak permintaan itu.
  • Suu Kyi, 81, ditahan sejak rampasan kuasa 1 Februari 2021 dan pada Mei dipindahkan ke status tahanan rumah.

Lazaro, yang juga merupakan Utusan Khas Pengerusi ASEAN ke Myanmar berkata, jaminan berkenaan diberikan semasa mesyuarat tidak rasmi antara Menteri Luar Myanmar U Tin Maung Swe dan Menteri-Menteri Luar ASEAN di Bangkok pada Ahad.

“Berdasarkan apa yang saya ingat mengenai kenyataan Menteri Luar Myanmar berhubung Aung San Suu Kyi, beliau menyatakan bahawa Suu Kyi berada dalam keadaan sihat. Beliau menyatakan bahawa Suu Kyi dianggap seperti saudara, seperti seorang kakak, dan oleh itu kami akan menjaganya,” katanya pada sidang media bersama Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow di sini pada Ahad.

Sementara itu, Lazaro berkata kedudukan sebenar Aung San Suu Kyi masih tidak diketahui, namun beliau telah dipindahkan ke satu lokasi yang ditetapkan.

Awal bulan ini, Lazaro telah memohon untuk mengadakan pertemuan dengan Aung San Suu Kyi, namun Myanmar menolak permintaan berkenaan.

Dalam pada itu, Sihasak berkata Menteri Luar Myanmar telah memberi jaminan kepada ASEAN bahawa Suu Kyi berada dalam keadaan sihat, dijaga dengan baik serta mempunyai akses kepada semua kemudahan yang diperlukan.

“Kami juga memberikan pandangan bahawa jika Utusan Khas ASEAN diberikan peluang untuk bertemu dengan Daw Aung San Suu Kyi, ia adalah lebih baik supaya kami dapat mengesahkan dakwaan yang dibuat oleh menteri luar (Myanmar) itu.

“Saya berpendapat adalah sesuatu yang baik apabila beliau dapat meyakinkan semula semua menteri luar ASEAN bahawa Aung San Suu Kyi dijaga dengan baik,” katanya.

Suu Kyi, 81, telah ditahan sejak pihak tentera merampas kuasa pada 1 Februari 2021. Pada Mei tahun ini, beliau telah dipindahkan ke status tahanan rumah selepas menghabiskan masa lebih lima tahun di dalam penjara. – BERNAMA