Angka korban gempa bumi Venezuela lebih 4,300 mangsa

Penduduk meninjau kerosakan bangunan akibat gempa bumi di La Guaira, Venezuela/Foto REUTERS

LA GUAIRA, 13 Julai – Operasi mencari dan mengeluarkan mangsa gempa bumi di La Guaira, Venezuela, masih diteruskan meskipun bencana itu berlaku lebih dua minggu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jumlah korban meningkat kepada 4,333 orang, menurut Presiden Perhimpunan Kebangsaan Jorge Rodriguez.
  • Sukarelawan, penyelamat dan keluarga terus mengorek runtuhan mencari mayat mangsa.
  • Banyak keluarga enggan meninggalkan lokasi kerana masih berharap menemukan jasad ahli tersayang.
  • PAHO memberi amaran mengenai risiko wabak, kekurangan air bersih, gangguan perkhidmatan kesihatan dan pelaksanaan imunisasi di kawasan terjejas.

Sukarelawan, anggota penyelamat dan ahli keluarga mangsa yang hilang terus bertungkus-lumus mengorek runtuhan bangunan dalam usaha menemukan mayat mangsa.

Menurut Presiden Perhimpunan Kebangsaan Venezuela, Jorge Rodriguez, angka korban kini meningkat kepada 4,333 orang.

Ramai ahli keluarga enggan meninggalkan lokasi kejadian kerana masih berharap dapat menemukan jasad mangsa korban.

Operasi menyelamat kini semakin mencabar apabila pasukan penyelamat terpaksa berdepan suhu tinggi, timbunan runtuhan, lalat serta bau busuk mayat yang masih tertimbus di bawah runtuhan.

Risiko operasi juga semakin meningkat berikutan struktur bangunan yang tidak stabil dan keadaan kebersihan yang semakin merosot.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika (PAHO) memberi amaran bahawa wabak penyakit, kekurangan bekalan air bersih dan gangguan perkhidmatan kesihatan boleh menjadi ancaman utama kepada puluhan ribu mangsa yang terselamat.

PAHO memaklumkan pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Venezuela bagi memantau kemungkinan penularan penyakit berjangkit.

Penularan termasuk jangkitan pernafasan dan penyakit bawaan air, selain memperluaskan program imunisasi di kawasan terjejas. – REUTERS