
DAMSYIK, 13 Julai – Abdul Hamid Aqil al-Awak dipilih sebagai Speaker Parlimen Peralihan Syria pada sidang sulung parlimen baharu negara itu, sekali gus memainkan peranan penting dalam proses peralihan politik selepas kejatuhan pemerintahan Bashar al-Assad pada Disember 2024.
- Memperoleh 99 daripada 205 undi, menewaskan Moayad al-Qablawi (75 undi) dan Mohammed Korj (31 undi).
- Berasal dari Hasakah serta berpengalaman luas dalam kehakiman, pentadbiran awam dan akademik; pernah berkhidmat sebagai hakim dan pensyarah undang-undang.
- Mempimpin jawatankuasa yang menggubal deklarasi perlembagaan sementara dan Parlimen Peralihan diberi mandat menggubal undang-undang serta asas perlembagaan baharu.
Al-Awak memperoleh 99 daripada 205 undi, menewaskan Moayad al-Qablawi yang meraih 75 undi dan Mohammed Korj dengan 31 undi.
Berasal dari wilayah Hasakah di timur laut Syria, al-Awak dilahirkan pada 1966 dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang kehakiman, akademik serta pentadbiran awam.
Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Aleppo pada 1990 sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang awam, pentadbiran dan perlembagaan di Lubnan.
Sepanjang kerjayanya, al-Awak pernah berkhidmat sebagai hakim di Kementerian Kehakiman Syria selama sedekad serta memegang jawatan Pengarah Hal Ehwal Perundangan di Direktorat Lembangan Sungai Tigris dan Khabur.
Dalam bidang akademik pula, beliau merupakan pensyarah undang-undang di Universiti Al-Furat dan Profesor Madya di Universiti Mardin Artuklu, Turkiye.
Beliau turut mengetuai jawatankuasa yang menggubal deklarasi perlembagaan sementara Syria selepas perubahan politik yang berlaku di negara itu.
Pemilihan al-Awak sebagai Speaker dilihat sebagai langkah penting dalam usaha membina semula institusi perundangan Syria ketika negara itu melalui tempoh peralihan.
Parlimen Peralihan Syria yang mempunyai 210 ahli diberi mandat menggubal undang-undang dan menyediakan asas kepada pembentukan perlembagaan baharu serta pilihan raya kebangsaan pada masa depan.