Tiga pos sempadan, pelantar minyak Kuwait diserang

Kuwait tingkat kawalan keselamatan susulan serangan dikaitkan dengan Iran/Foto REUTERS

KUWAIT CITY, 13 Julai – Kuwait mengesahkan tiga pos kawalan di sempadan utara negara itu serta sebuah pelantar minyak luar pesisir menjadi sasaran serangan ketika ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran terus meningkat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian Pertahanan melaporkan kerosakan pada kemudahan sempadan, namun belum mengesahkan pihak bertanggungjawab.
  • Kemudahan penggerudian minyak diserang menggunakan dron, mengakibatkan kerosakan dan mencederakan seorang pekerja.
  • Kuwait meningkatkan langkah keselamatan sementara siasatan berjalan, kebimbangan merebaknya ketegangan AS-Iran turut meningkat.

Kementerian Pertahanan Kuwait dalam satu kenyataan berkata, serangan ke atas tiga pos sempadan itu menyebabkan kerosakan pada kemudahan berkenaan, namun tidak mengesahkan pihak yang bertanggungjawab melancarkannya.

Dalam insiden berasingan, sebuah pelantar penggerudian milik Kuwait Oil Company turut diserang dron.

Serangan itu mengakibatkan kerosakan pada pelantar berkenaan, selain mencederakan seorang pekerja.

Kepulan asap tebal kelihatan di Abdali, utara Kuwait susulan serangan yang tidak dikenal pasti/Foto REUTERS

Pihak berkuasa Kuwait berkata keadaan keselamatan negara masih terkawal, manakala siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca dan dalang di sebalik serangan tersebut.

Insiden itu berlaku ketika konflik antara AS dan Iran terus memuncak dengan kedua-dua negara saling melancarkan serangan.

Insiden itu sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa ketegangan berkenaan boleh merebak ke negara-negara Teluk yang lain.

Kuwait yang menempatkan beberapa kemudahan ketenteraan AS serta infrastruktur minyak strategik dilihat terus meningkatkan langkah berjaga-jaga susulan perkembangan terbaharu itu. – AFP