
DOHA, 13 Julai – Qatar hari ini memberikan penghormatan terakhir kepada bekas Emir, Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani, yang meninggal dunia pada usia 74 tahun.
- Emir Sheikh Tamim turut sertai solat jenazah dan mengusung jenazah ayahanda, disaksikan ahli keluarga diraja, pemimpin negara dan orang ramai.
- Memperkukuh eksport LNG, memajukan Al Jazeera, dan membantu menjadikan Qatar tuan rumah Piala Dunia FIFA 2022.
- Pada 2013 beliau menyerahkan kuasa kepada puteranya, satu peralihan yang jarang berlaku dalam monarki Teluk.
Upacara pengebumian berlangsung di Doha dengan dihadiri ahli keluarga diraja, pemimpin negara serta orang ramai.
Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, turut menyertai solat jenazah dan mengusung jenazah Allahyarham yang merupakan ayahandanya.
Pejabat Amiri Diwan sebelum itu mengesahkan Sheikh Hamad meninggal dunia pada pagi Ahad, namun tidak mendedahkan punca kematian.
Sheikh Hamad memerintah Qatar dari 1995 hingga 2013 dan dianggap tokoh yang mengubah landskap negara itu daripada sebuah negara kecil di Teluk kepada kuasa ekonomi dan diplomasi yang berpengaruh di peringkat antarabangsa.

Sepanjang pemerintahannya, beliau memperkukuh kedudukan Qatar sebagai pengeksport utama gas asli cecair (LNG).
Selain itu, beliau turut memacu pembangunan rangkaian televisyen Al Jazeera yang meningkatkan pengaruh media negara itu di peringkat global.
Beliau juga memainkan peranan penting dalam kejayaan Qatar menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA 2022, kejohanan pertama yang dianjurkan di rantau Asia Barat.
Pada 2013, Sheikh Hamad menyerahkan tampuk pemerintahan kepada puteranya, Sheikh Tamim, dalam satu peralihan kuasa yang jarang berlaku dalam kalangan negara monarki Teluk. – REUTERS